Saturday, May 3, 2008

Mahathir ’Melacurkan’ Ku Li Untuk Najib

"Kita lihat, dia (Najib) sebagai seorang PENAKUT. Dia sentiasa mengatakan "Ya Tuan, Ya Tuan, Saya SOKONG, saya SOKONG". Itulah salah satu kritikan Mahathir kepada Najib.

Melihat kepada kritikan tersebut, menampakkan satu terjahan keras Mahathir kepada Najib. Tetapi betulkah begitu? Adakah benar Mahathir sudah berpatah arang dengan Najib? Atau mungkin mahu menyedarkan Najib bahawa masa untuk beliau sudah tiba?

Sekarang, melihat acuh tidak acuh reaksi Najib, Mahathir seolah-olah ingin mengangkat Ku Li untuk menggantikan Pak Lah... betulkah begitu? Kalau orang bertanya saya, saya akan jawab tidak dan tidak masuk akal.

Mahathir - Ku Li, kedua-duanya mempunyai sejarah pertembungan dan pemusuhan politik yang hebat dalam banyak perkara sejak tahun 1980-an lagi. Sejarah pertembungan Mahathir - Ku Li ini, telah melakar sejarah yang amat tragis bagi orang Melayu kerana pertelagahan yang mendorong Umno diharamkan pada tahun 1988. Tragedi tersebut melahirkan Umno Baru & Semangat 46.

Tetapi kerana kepentingan tertentu, Ku Li kembali ke pangkuan Umno dan meninggalkan Angkatan Perpaduan Ummah. Ia meninggalkan sahabat yang tidak pernah mengkhianatinya dan kembali kepada sahabat yang pernah mengkhianatinya. Manakala Mahathir pula sememangnya terkenal dengan sikap tidak memaafkan sesiapa dan menganggap dirinya selalu betul walaupun acap kali memberi hujah yang merapu.

Yang penting, kedua-dua tokoh ini seakan-akan bersatu setalah dipinggirkan dari Umno samada dalam memberi pandangan dari sudut politik mahupun ekonomi. Namun apa jua yang diperkatakan, kedua-dua ’warga emas’ ini dipertemukan dalam satu majlis Ceramah Agung Tahunan Persekutuan Badan Pendidikan dan Pembangunan Melayu (PBPPM) di Universiti Malaya yang diadakan pada 30 Mac 2008 lepas.

Bermula tarikh tersebut, bermulalah era ’persepakatan’ diantara kedua-dua ini untuk menjatuhkan Pak Lah. Tetapi yang menjadi persoalan adakah kedua-dua warga emas ini bergabung untuk menjatuhkan Pak Lah bagi menjadikan Ku Li sebagai PM atau mereka bergabung tenaga untuk memberi laluan kepada Najib.

Ku Li Atau Najib?



Yang menjadi tumpuan sekarang, jika Pak Lah dijatuhkan, siapa yang akan menjadi PM? Ku Li atau Najib? (Abaikan dulu ramalan mengatakan Anwar bakal bergelar PM selepas Pak Lah).

Bermula dengan Mesyuarat Agung Khas Umno Bahagian Gua Musang, disusuli Amanat Khas di Balai Islam minggu lepas (diwar-warkan sebagai Majlis Maulidurrasul), ’aura’ untuk Ku Li mendapat sokongan terasa amat sukar. Saya yang turut berkesempatan program ’Amanat Penting’ di Balai Islam tersebut, tidak merasakan sesuatu perubahan yang besar akan berlaku. Malah hadirin yang hadir tidak menampakkan sokongan yang total dari ahli Umno. Yang ramai ialah dari kalangan bekas-bekas ahli Semangat 46. malah ramai juga ahli-ahli PAS turut serta bagi mengikuti program tersebut. Buat setakat ini, jika tiada ‘gelombang’ besar yang dilakukan oleh Ku Li untuk menjejaki takhta PM, ‘sumpahan’ Tok Wali Hassan kepadanya pasti berpanjangan.


(Majlis Maulidurrasul Yang Dianjurkan Oleh Ku Li)


Ramai merasakan, Umno dilihat sukar untuk memberi laluan mudah kepada Ku Li berbanding dengan memberi laluan kepada Najib bagi menggantikan Pak Lah. Sebenarnya ini yang dimahukan kebanyakkan ahli Umno dan mustahil Mahathir tidak memahami situasi ini.

Ramai juga melihat sokongan Mahathir kepada Ku Li hanya bertujuan untuk menjatuhkan Pak Lah bukan untuk menjadikannya sebagai PM. Malah seorang pemerhati politik menggelarkan Ku Li seperti ‘dilacurkan’ oleh Mahathir untuk Najib.

Peralihan Kuasa

Cara ‘lakonan’ serangan Mahathir kepada Najib seperti ingin ‘menyucikan’ diri Najib. Malah reaksi ‘lembut’ Najib menjawab segala ’kritikan nipis’ Mahathir kepadanya, seakan-akan mempertejemahkan hubungan Mahathir-Najib masih utuh. Bahkan sememangnya, saya menyakini Mahathir inginkan Najib.

Tambahan pula, sekarang istilah ’peralihan kuasa’ semakin rancak kedengaran dan diwar-warkan oleh Muhyiddin Yassin (dikatakan mengimpikan jawatan Timbalan Presiden Umno). Istilah tersebut dilihat berjaya memberi tekanan yang hebat kepada Pak Lah berbanding tekanan yang diberikan oleh Mahathir - Ku Li. Pastinya Najib tersenyum dengan situasi sebegini.


Atau mungkin juga, rakusnya Mahathir melontar serangan kepada Pak Lah kerana ia sedar, jika tidak melakukan sesuatu, lama kelamaan pastinya musuh no. 1 beliau Anwar akan menjejaki Putrajaya. Maka untuk menyelamatkan keadaan sebegini, Pak Lah harus dan mesti dikorbankan dengan cepat. Cepatnya Najib menaiki takhta, akan jauhlah impian Anwar untuk menjejaki Putrajaya.

Saya pernah menanyakan soalan kepada seorang penulis terkenal mengenai samada Anwar akan berjaya masuk ke putrajaya? Ia menjawab dengan mudah, jika Najib naik, impian Anwar akan jadi kabur. Malah, saya juga yakin Mahathir & Anwar mengerti situasi ini. Kerana itulah, akhir-akhir ini ’sukhoi’ Anwar kini dihalakan kepada Najib bukannya kepada Pak Lah.

Yang pasti doa-doa golongan marhaen seperti telah dikabulkan. ’Neraka’ untuk Umno akan terus berpanjangan.


Yang menjadi persoalan, sejauhmana persediaan Pakatan Rakyat untuk menggantikan BN...?

2 comments:

PEMUDA BERSIH said...

Tahniah saudara kerana berani untuk berada di pihak yang benar...Takbirr!!!

Mohd Zulkifli Shafie said...

Bacaan politik yang menarik. Tahniah!