Saturday, August 29, 2009

Hepy Besday SAYANG!

SAYANG....

Selamat Menyambut Hari Lahir Yang Ke 27



Ya Allah... . Titipkanlah kebahagian antara kami... .

agar kemesraan itu abadi...

Ya Allah... ya tuhanku Yang Maha Mengasihi...
Seiringkanlah kami melayari hidup ini...
Ketepian yang sejahtera dan abadi...


Ya Allah ya Tuhanku...
Pasrahkanlah aku dengan takdirMu...

Sesungguhnya apa yang telah Engkau takdirkan...
Adalah yang terbaik buat ku... .
kerana Engkau Maha Mengetahui...
Segala yang terbaik buat hamba Mu ini...



Antara menu untuk meraikan besday..... huhuhuu





Tiada ulasan yang nak diucapkan, melainkan berkongsi satu kisah percintaan yang menarik…..



Isteri : Mengapa abang menyukai saya? Mengapa abang cintakan saya?

Suami : Abang tidak boleh menerangkan sebabnya, namun begitu abang memang menyayangi dan mencintai Sayang!


Isteri : Abang tak boleh terangkan sebabnya? Bagaimana abang boleh katakan abang sayang dan cintakan saya sedangkan abang tidak boleh menerangkannya.

Suami : Betul! Abang tak tahu sebabnya tetapi abang boleh buktikan bahawa abang memang cintakan Sayang!


Isteri : Tak boleh beri bukti! Tidak! Saya hendak abang terangkan kepada saya sebabnya. Kawan-kawan saya yang lain yang mempunyai suami dan teman lelaki, semuanya tahu menerangkan mengapa mereka mencintai. Dalam bentuk puisi dan syair lagi. Namun begitu abang tidak boleh terangkan sebabnya


Si suami menarik nafas panjang dan dia berkata "Baiklah! Abang mencintai Sayang sebab sayang cantik, mempunyai suara yang merdu, penyayang dan mengingati abang selalu. Abang juga sukakan senyuman manis dan setiap tapak Sayang melangkah, di situlah cinta Abang bersama Sayang!"


Si isteri tersenyum dan berpuas hati dengan penerangan suaminya tadi. Namun begitu selang beberapa hari si isteri mengalami kemalangan dan koma.


Si suami amat bersedih dan menulis sepucuk surat kepada isterinya yang disayangi. Surat itu diletakkan di sebelah katil isterinya di hospital. Surat tersebut berbunyi begini :


"Sayang! Jika disebabkan suara aku mencintai mu... sekarang bolehkah engkau bersuara? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintai mu.


Jika disebabkan kasih sayang dan ingatan aku mencintai mu...sekarang bolehkah engkau menunjukkannya? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintai mu.


Jika disebabkan senyuman aku mencintai mu... sekarang bolehkah engkau tersenyum? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintai mu.


Jika disebabkan setiap langkah aku mencintai mu.... sekarang bolehkah engkau
melangkah? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintai mu.


Jika cinta memerlukan sebabnya, seperti sekarang. Aku tidak mempunyai sebab mencintai mu lagi. Adakah cinta memerlukan sebab?

Tidak! AKU MASIH MENCINTAI MU DULU, KINI, SELAMANYA DAN CINTA TIDAK PERLU
ADA SEBAB. KADANGKALA PERKARA TERCANTIK DAN TERBAIK DI DUNIA TIDAK BOLEH DILIHAT, DIPEGANG. NAMUN BEGITU IA BOLEH DIRASAI DALAM HATI."

Monday, August 24, 2009

Sederhana Resepi Terbaik Untuk PR

Tulisan : Ahmad Lutfi Othman


UNTUK menafikan bahawa Pakatan Rakyat tidak menghadapi sebarang masalah tentulah tidak munasabah, namun untuk mendakwa ketiga-tiga parti komponennya sering berbalah, sehingga menggugat asas-asas persefahaman, lagilah tidak berasas.

Begitulah adat dan kelaziman dalam permuafatan politik, apatah lagi membabitkan parti-parti yang berbeza ideologi, pasti ada yang mudah terguris dan terusik

Di samping ada prinsip utama yang dipersetujui bersama, tentulah masih berbaki perbezaan pendapat yang memerlukan darjah toleransi yang tinggi, sikap berlapang dada dan dingin kepala, keutamaan mematuhi janji, dengan tidak melupakan masih perlu elemen tegur-menegur dan kritikan membina.

Minimumkan syak wasangka sesama Pakatan

Bagaimanapun rasa syak wasangka dan prejudis sesama sendiri hendaklah diminimumkan. Pakatan bukan seperti BN, yang menutup ruang bicara parti komponen atau pemimpin yang tidak berpuas hati, atas asas keputusan ketua adalah muktamad.

Sejarah penubuhan Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat menjelang pilihan raya umum 1990 mungkin tidak begitu kompleks berbanding pembentukan Barisan Alternatif pada 1999. Parti yang dikatakan "berlainan kutub", PAS dan DAP, mencipta sejarah ketika itu apabila dapat bersama dalam BA, berkongsi manifesto, namun ia tidak kekal lama apabila DAP menarik diri ekoran isu Negara Islam.

Senario itu mudah difahami memandangkan usia BA masih muda dan pemimpinnya mungkin mudah terangsang dengan provokasi nakal bikinan Umno-BN. Lagipun hanya PAS kelihatan "paling beruntung" dalam pilihan raya umum ke-10 itu, meninggalkan DAP dalam kedukaan dan KeADILan yang belum berjaya mengasaskan tapak yang kukuh.

Tsunami politik Mac 2008 memang mengejutkan. Rakyat yang sebelumnya agak diam - tidak sepertimana riuh-rendah kebangkitan reformasi September 1999 - memanfaatkan sepenuhnya peti undi.

Kemenangan paling gemilang BN dalam pilihan raya umum April 2004 hilang begitu sahaja sehingga memaksa Abdullah Ahmad Badawi berundur lebih awal daripada pelan asal. PAS, KeADILan dan DAP, yang kemudiannya membentuk Pakatan Rakyat, masing-masing hampir seimbang mencapai kemenangan.

Lebih penting, setiap parti dalam Pakatan berpeluang menerajui kerajaan negeri, misalnya PAS di Kedah, DAP di Pulau Pinang dan KeADILan di Selangor, malah eksperimen 10 bulan di Perak begitu menarik dan mahal harganya terutama dalam konteks hubungan baru PAS-DAP.

Dan semua ini merupakan pengalaman paling berguna untuk memperkukuhkan lagi persefahaman sehingga masalah-masalah dalaman yang timbul tidak mudah untuk meretakkan Pakatan.

Maka, isu-isu seperti arak di Selangor dan babi di Kedah, mungkin di peringkat awal nampak kalut tetapi dengan mudah dileraikan secara bijaksana oleh pemimpin Pakatan. Saya yakin aktivis Pakatan tidak akan memandang remeh kuasa rakyat yang kini sudah mempunyai "pilihan dalam pilihan raya", yang seterusnya memperkukuhkan lagi konstruksi sistem dua parti gabungan di Malaysia.

Anwar Ibrahim dalam wawancara dengan akhbar Harakah ada mengingatkan pemimpin Pakatan: "Tidak perlu terlalu banyak karenah atau perbicaraan di kalangan penyokong yang mudah ditafsir sehingga menimbulkan persepsi negatif."

Usah abaikan janji reformasi

Masyarakat boleh memahami karenah media talibarut (istilah Zulkifli Yahaya) yang cepat menangkap peluang untuk mengadu-domba parti-parti seteru BN, tetapi mereka tidak akan memaafkan jika harapan besar rakyat yang ditunjukkan dalam pilihan raya 2008 dikhianati apabila kepentingan umum diketepikan, hal peribadi dan kelompok pula yang diutamakan.

Janji-janji reformasi harus ditunaikan, selain gaya hidup pemimpinnya, - walaupun sudah berkuasa terutama di peringkat kerajaan negeri - mesti kekal sederhana dan dekat dengan degup jantung rakyat.

Rumusan pensyarah sains politik UKM, Muhamad Nadzri Mohamed Noor dalam bukunya, Politik Malaysia di Persimpangan; Praktik Politik dalam PRU 2008 dan Kontemporari (2009) menarik untuk direnungi: "Pembentukan Pakatan adalah satu respons pragmatik parti oposisi terhadaptrend perilaku pengundi dalam PRU 2008. Yakni, tindakan masyarakatlah yang memungkinkan Pakatan terbentuk. Di kalangan mereka terdapat pengundi yang muak, memprotes cara urus tadbir BN dan mengharapkan persekitaran kehidupan diubah kepada yang lebih kondusif dan lestari.

"Kejayaan Pakatan ... mungkin bukanlah satu sokongan yang benar-benar solid ... tidaklah lahir daripada sokongan pengundi tegar ... sebaliknya dibantu sokongan pengundi atas pagar dan penyokong BN yang memprotes. Sokongan dalam bentuk ini agak mudah dialihkan atau ditarik balik oleh pengundi di kemudian hari."

Oleh itu, bagi Nadzri, Pakatan mestilah benar-benar melaksanakan alternatif yang yang sedia ada, terutama janji-janji pembaharuan dalam pilihan raya umum 2008 dan siri pilihan raya kecil berkenaan dengan keadilan, ketelusan, urus tadbir bersih, bertanggungjawab, responsif dan merakyat. Kedua, parti-parti Pakatan mesti bijak untuk bersederhana dalam merencana dan melaksanakan perjuangan bagi mengekalkan keberlangsungan pakatannya

Sunday, August 23, 2009

Selamat Menyambut Ulangtahun Perkahwinan Ke 2

Buat Isteriku...
Selamat Menyambut Ulangtahun Perkahwinan Ke 2 (24 Ogos).

(Petikan dari lagu Ayat-ayat Cinta.. Huhuhu)

maafkan bila ku tak sempurna
cinta ini tak mungkin ku cegah
ayat-ayat cinta bercerita
cintaku padamu
bila bahagia mulai menyentuh
seakan ku bisa hidup lebih lama
namun harus ku tinggalkan cinta
ketika ku bersujud

Sunday, August 16, 2009

Tok Guru Menjadi Sasasan


Oleh : Zulkifli Sulong

Nampaknya, Umno menjadikan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai target serangan mereka akhir-akhir ini. Tokoh penyerang utama adalah tidak lain dari Timbalan Presiden Umno sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Ramai yang bertanya, kenapa Nik Aziz? Kenapa bukan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang?

Bagi saya, jelas sekali Umno sedar bahawa faktor penyatu utama Pakatan Rakyat sekarang adalah Nik Aziz di samping Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai operator utamanya. Bolehlah diumpamakan, Nik Aziz adalah Pengerusi manakala Anwar adalah Presiden Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat adalah pesaing dan pemangsa kepada kedudukan Barisan Nasional (BN) kini. Servival politik BN terletak kepada sejauh mana kekuatan Pakatan Rakyat. Untuk membolehkan BN terus kekal, walau dengan apa cara pun, pakatan di kalangan PAS, PKR dan DAP ini perlu dirungkaikan.

Inilah usaha yang sedang dibuat BN sekarang. Pecahkan Pakatan dengan cara melaga-lagakan sesama mereka atau menjatuhkan mana-mana pihak yang menjadi faktor penyatu kepada mereka.

Saya yakin, sebagai pemimpin nombor dua parti yang akses kepada semua aparatus negara, Muhyidin sedar, kekuatan Pakatan adalah pada Nik Aziz. Jadi kalau mahu diruntuhkan Pakatan, Nik Aziz perlu dihancurkan dulu di samping Anwar.

Bertitik tolak dari sinilah, kedua-dua tokoh Pakatan ini menjadi sasaran Umno siang dan malam. Terbaru, Muhyidin menghalakan serangannya kepada Nik Aziz ekoran kenyataan Nik Aziz mengenai DAP.

Muhyidin sedar, selagi Nik Aziz mempertahankan tindakan DAP, selagi itulah Pakatan Rakyat akan mantop, kalau boleh saya pinjam ungkapan anak-anak muda sekarang.

Terlalu banyak contoh kenapa kesimpulan ini diambil. Apabila Setiausaha DAP Perak, Nga Koo Meng membaca beberapa surah ayat Al Quran, Umno marah. Kononnya ia menghina Islam. Mufti Perak, yang menjadi penyokong tegar Umno itu juga mengeluarkan kenyataan bantahan terhadap Nga.

Namun, apabila Nik Aziz bersuara sahaja dan menyokong Nga, semua senyap sepi tidak berani melawan hujjah Nik Aziz.

Sebelum itu, apabila isu kerajaan perpaduan datang, semua para penyokong Pakatan Rakyat bimbang kalau-kalau ia sama sahaja dengan isu muzakarah iaitu PAS mahu bekerjasama dengan Umno untuk kepentingan Melayu dan Islam. Para penyokong DAP paling resah selain orang Cina dan India yang menyokong Pakatan.

Menyedari hakikat ada mesej negatif yang dihantar dari isu ini, Nik Aziz cepat-cepat menolak agenda kerajaan perpaduan. Bagi beliau, idea mungkin baik tetapi tidak sesuai dengan masa ini.

Siapakah yang paling lega dengan kenyataan Nik Aziz ini? Tidak lain dan tidak bukan rakan-rakan kongsi PAS dalam Pakatan Rakyat yang bimbang PAS meninggalkan mereka untuk bersama Umno. Perginya PAS bermakna hancurlah Pakatan Rakyat sebagaimana hancurnya Barisan Alternatif sebelum ini.

Terkini, isu penjualan arak di Selangor. Isu asalnya adalah kebimbangan ramai orang Islam di negara ini dengan langkah penjualan arak 24 jam melalui kedai 7-Eleven. Mereka merasakan, menjual minuman keras di luar waktu biasa (8 pagi - 10 malam) boleh menjerumuskan remaja dan orang dewasa Islam ke kancah minuman keras. Ini kerana, selemah-lemah orang Melayu dengan agamanya, dia akan malu untuk membeli atau meminum arak di depan orang ramai. Jadi, waktu selepas 12 malam, ketika orang ramai tidur, digunakan untuk membeli dan meminumnya.

Apabila PAS Selangor melalui Pesuruhjayanya membangkitkan isu ini, ramai para pemimpin DAP berhujjah pandangan PAS Selangor itu terlalu berlebihan. “Nik Aziz pun tak buat macam itu di Kota Bharu,” kata mereka.

Maknanya, mereka boleh menerima pendekatan pengawalan penjualan arak yang dibuat Nik Aziz di Kota Baru yang dinamakan bandaraya Islam itu. Tetapi, mereka tidak boleh menerima sesetengah idea yang dikemukakan pemimpin PAS di Selangor yang bagi mereka terlebih dari apa yang dibuat Nik Aziz sendiri.

Sebelum isu arak ini, di dalam PAS sendiri berlaku juga pertembungan antara sekolah pemikirannya. Apabila sekumpulan pemimpin muda PAS mahu parti Islam itu mengambil pendekatan yang sederhana dan realistik dalam melaksanakan idea Islamnya, mereka telah digelar kumpulan Erdorgan.

Yang dilabelkan sebagai pemimpin kumpulan Erdorgan ini adalah Datuk Husam Musa. Walaupun kalah dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PAS, Husam tetap menjadi idola ramai anak muda. Bagi mereka, inilah pemimpin masa depan negara.

Dan Husam adalah dikira anak didik Nik Aziz. Sebagaimana Nik Aziz, Husam bertegas, jika PAS mahu ke hadapan dalam memimpin negara ini, PAS perlu menggantikan Umno bukannya bekerjasama dengan Umno. Jika bekerjasama dengan Umno bermakna, PAS akan sentiasa di tempat kedua kepada Umno.

Apa yang Husam buat dianggap satu pemikiran dengan Nik Aziz. Inilah yang sangat tidak disenangi Umno.

Apabila Umno seolah-olah sampai ke peringkat gila talak untuk berbaik-baik dengan PAS, Nik Aziz dan Husam menjadi rakan (sparring partner) dalam menolak agenda Umno itu.

Inilah kekuatan Nik Aziz. Dia sudah menjadi icon Pakatan Rakyat. Beliau menjadi faktor penyatu Pakatan Rakyat. Jadi untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat, Nik Aziz perlu dijatuhkan terlebih dahulu. Bagi saya, inilah yang berlaku sekarang dan akan terus dilakukan Umno yang sudah kecewa selepas ‘pinangan’ mereka terus-terusan ditolak PAS hanya kerana Nik Aziz.