Monday, August 24, 2009

Sederhana Resepi Terbaik Untuk PR

Tulisan : Ahmad Lutfi Othman


UNTUK menafikan bahawa Pakatan Rakyat tidak menghadapi sebarang masalah tentulah tidak munasabah, namun untuk mendakwa ketiga-tiga parti komponennya sering berbalah, sehingga menggugat asas-asas persefahaman, lagilah tidak berasas.

Begitulah adat dan kelaziman dalam permuafatan politik, apatah lagi membabitkan parti-parti yang berbeza ideologi, pasti ada yang mudah terguris dan terusik

Di samping ada prinsip utama yang dipersetujui bersama, tentulah masih berbaki perbezaan pendapat yang memerlukan darjah toleransi yang tinggi, sikap berlapang dada dan dingin kepala, keutamaan mematuhi janji, dengan tidak melupakan masih perlu elemen tegur-menegur dan kritikan membina.

Minimumkan syak wasangka sesama Pakatan

Bagaimanapun rasa syak wasangka dan prejudis sesama sendiri hendaklah diminimumkan. Pakatan bukan seperti BN, yang menutup ruang bicara parti komponen atau pemimpin yang tidak berpuas hati, atas asas keputusan ketua adalah muktamad.

Sejarah penubuhan Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat menjelang pilihan raya umum 1990 mungkin tidak begitu kompleks berbanding pembentukan Barisan Alternatif pada 1999. Parti yang dikatakan "berlainan kutub", PAS dan DAP, mencipta sejarah ketika itu apabila dapat bersama dalam BA, berkongsi manifesto, namun ia tidak kekal lama apabila DAP menarik diri ekoran isu Negara Islam.

Senario itu mudah difahami memandangkan usia BA masih muda dan pemimpinnya mungkin mudah terangsang dengan provokasi nakal bikinan Umno-BN. Lagipun hanya PAS kelihatan "paling beruntung" dalam pilihan raya umum ke-10 itu, meninggalkan DAP dalam kedukaan dan KeADILan yang belum berjaya mengasaskan tapak yang kukuh.

Tsunami politik Mac 2008 memang mengejutkan. Rakyat yang sebelumnya agak diam - tidak sepertimana riuh-rendah kebangkitan reformasi September 1999 - memanfaatkan sepenuhnya peti undi.

Kemenangan paling gemilang BN dalam pilihan raya umum April 2004 hilang begitu sahaja sehingga memaksa Abdullah Ahmad Badawi berundur lebih awal daripada pelan asal. PAS, KeADILan dan DAP, yang kemudiannya membentuk Pakatan Rakyat, masing-masing hampir seimbang mencapai kemenangan.

Lebih penting, setiap parti dalam Pakatan berpeluang menerajui kerajaan negeri, misalnya PAS di Kedah, DAP di Pulau Pinang dan KeADILan di Selangor, malah eksperimen 10 bulan di Perak begitu menarik dan mahal harganya terutama dalam konteks hubungan baru PAS-DAP.

Dan semua ini merupakan pengalaman paling berguna untuk memperkukuhkan lagi persefahaman sehingga masalah-masalah dalaman yang timbul tidak mudah untuk meretakkan Pakatan.

Maka, isu-isu seperti arak di Selangor dan babi di Kedah, mungkin di peringkat awal nampak kalut tetapi dengan mudah dileraikan secara bijaksana oleh pemimpin Pakatan. Saya yakin aktivis Pakatan tidak akan memandang remeh kuasa rakyat yang kini sudah mempunyai "pilihan dalam pilihan raya", yang seterusnya memperkukuhkan lagi konstruksi sistem dua parti gabungan di Malaysia.

Anwar Ibrahim dalam wawancara dengan akhbar Harakah ada mengingatkan pemimpin Pakatan: "Tidak perlu terlalu banyak karenah atau perbicaraan di kalangan penyokong yang mudah ditafsir sehingga menimbulkan persepsi negatif."

Usah abaikan janji reformasi

Masyarakat boleh memahami karenah media talibarut (istilah Zulkifli Yahaya) yang cepat menangkap peluang untuk mengadu-domba parti-parti seteru BN, tetapi mereka tidak akan memaafkan jika harapan besar rakyat yang ditunjukkan dalam pilihan raya 2008 dikhianati apabila kepentingan umum diketepikan, hal peribadi dan kelompok pula yang diutamakan.

Janji-janji reformasi harus ditunaikan, selain gaya hidup pemimpinnya, - walaupun sudah berkuasa terutama di peringkat kerajaan negeri - mesti kekal sederhana dan dekat dengan degup jantung rakyat.

Rumusan pensyarah sains politik UKM, Muhamad Nadzri Mohamed Noor dalam bukunya, Politik Malaysia di Persimpangan; Praktik Politik dalam PRU 2008 dan Kontemporari (2009) menarik untuk direnungi: "Pembentukan Pakatan adalah satu respons pragmatik parti oposisi terhadaptrend perilaku pengundi dalam PRU 2008. Yakni, tindakan masyarakatlah yang memungkinkan Pakatan terbentuk. Di kalangan mereka terdapat pengundi yang muak, memprotes cara urus tadbir BN dan mengharapkan persekitaran kehidupan diubah kepada yang lebih kondusif dan lestari.

"Kejayaan Pakatan ... mungkin bukanlah satu sokongan yang benar-benar solid ... tidaklah lahir daripada sokongan pengundi tegar ... sebaliknya dibantu sokongan pengundi atas pagar dan penyokong BN yang memprotes. Sokongan dalam bentuk ini agak mudah dialihkan atau ditarik balik oleh pengundi di kemudian hari."

Oleh itu, bagi Nadzri, Pakatan mestilah benar-benar melaksanakan alternatif yang yang sedia ada, terutama janji-janji pembaharuan dalam pilihan raya umum 2008 dan siri pilihan raya kecil berkenaan dengan keadilan, ketelusan, urus tadbir bersih, bertanggungjawab, responsif dan merakyat. Kedua, parti-parti Pakatan mesti bijak untuk bersederhana dalam merencana dan melaksanakan perjuangan bagi mengekalkan keberlangsungan pakatannya

No comments: