Sunday, May 10, 2009

Dr MAZA : Buang Masa Bincang Ulama-Profesional

Dipetik dari dari web drmaza.com


PAS panas memperdebatkan isu kepimpinan parti itu sama ada patut dipegang oleh golongan ‘ulama’ atau professional? Saya tidak berhasrat untuk memberikan pandangan kerana itu urusan ‘rumahtangga jiran’ yang tiada keperluan untuk campur tangan. Namun apabila ramai orang bertanya saya dalam bentuk soalan yang lebih luas; apakah menurut Islam hanya ulama sahaja yang boleh menjadi ketua negara? Jika itulah soalannya, saya rasa terpanggil untuk turut memberikan pandangan.


Saya masih ingat dalam satu temubual Akhbar Harakah dengan saya beberapa bulan lepas, saya telah menjawab persoalan-persoalan yang dikemukakan. Hampir semua yang saya jawab disiarkan, cuma beberapa jawaban saya tidak dikeluarkan. Antara jawapan saya yang tidak diterbitkan itu, saya menyebut: “Pemikiran politik Islam yang difahami oleh sesetengah para pejuang negara Islam itu sendiri perlukan perubahan atau tajdid. Kita tidak boleh terikat dengan konsep Darul Islam yang tulis oleh al-Imam al-Mawardi r.h dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah lagi.


Barangkali banyak isi kandungan buku tersebut sesuai untuk zaman Kerajaan Abbasiyyah yang ketika itu. Dengan menghormati kesarjanaan dan ketokohan al-Imam Al-Mawardi r.h, namun beliau dalam banyak hal menggambarkan sistem kerajaan pada zamannya, sedangkan konsep pentadbiran dan politik dalam Islam jauh lebih fleksibel dan luas dari apa yang digambarkan oleh al-Mawardi ketika itu…


Politik Islami tidak boleh lagi sekadar mengulangi apa yang disebut oleh al-Imam al-Mawardi r.h, nanti kita akan tersepit. Jika sesetengah tokoh agamawan yang memperjuangkan negara Islam tidak lebih terbuka, mereka akan menghadapi masalah, atau bercakaran sesama sendiri apabila tiba ke peringkat perlaksanaan Islam itu dalam alam realiti. Akhirnya, kelompok pembaharuan akan muncul di tengah-tengah mereka dan pergeseran akan berlaku. Maka tafsiran politik Islami itu sendiri perlu diluaskan”.


Ya, al-Imam al-Mawardi r.h dalam tulisannya menyebut syarat seorang khalifah mestilah memiliki ilmu yang memampukannya berijtihad dalam menyelesaikan keadaan dan hukum. Al-Mawardi juga menyebut bahawa khalifah mestilah berketurunan Quraish. Jika dilihat dari segi dalil, walaupun lojiknya ada, tetapi tiada nas yang mensyaratkan seseorang khalifah mesti mencapai ilmu ke peringkat ijtihad hukum.


Tetapi, ada hadis sahih yang menyebut:Para imam itu daripada Quraish” (Riwayat Ahmad). Sehingga kata al-Mawardi: “Hendaklah imam (khalifah) itu berketurunan Quraish disebabkan ada nas yang menyebutnya dan telah berlaku ijmak (consensus)”.


Ertinya, jika syarat-syarat al-Mawardi itu hendak dipegang, maka syarat Quraishlah yang mempunyai dalil hadis. Syarat-syarat lain hanyalah atas lojik yang kuat dalam urusan politik seperti sempurna pancaindera, kesihatan, pemikiran dan seumpamanya.


Menariknya, di Malaysia belum ada yang bertanya: apakah Perdana Menteri disyaratkan seorang yang berketurunan Quraish? Untuk pengetahuan, Ibn Khaldun dan beberapa sarjana lain mempunyai tafsiran yang berbeza dalam isu pensyaratan Quraish sebagai khalifah. Bukan di sini untuk saya bincangkan. Apa yang hendak saya sentuh, perlu keluasan pemikiran dalam menganalisa atau berpegang dengan teks-teks klasik yang sebahagiannya mempunyai keadaan yang berbeza.


Isu pemimpin negara mestilah ulama menjadi lebih rancak dibincang dalam dunia pemikiran apabila tercetusnya Revolusi Iran dan Khomeini memperkatakan tentang konsep Wilayah al-Faqih yang meletakkan faqih atau ulama sebagai pemimpin. Konsep itu mempunyai akar umbi kefahaman Syiah yang tersendiri, walaupun ia juga didebatkan di kalangan mereka. Gerakan-gerakan Islam yang wujud, sebahagiannya terpengaruh dengan perkembangan-perkembangan ini.


Di samping, pengalaman menunjukkan ramai pemerintah negara yang ‘bukan ulama’ dalam kalangan umat Islam telah gagal untuk berpegang dengan Islam, hingga ramai yang menyangka hendaklah ulama yang menjadi pemerintah. Padahal, penyelewengan yang berlaku dalam banyak keadaan bukan disebabkan latar pendidikan, tapi disebabkan oleh prinsip kehidupan yang dihayati oleh seseorang individu pemerintah itu sendiri. Dalam ertikata lain, jika pemerintah itu bukan ulama sekalipun, tetapi jika dia ingin menjadikan negara berpegang dengan prinsip-prinsip Islam, nescaya dia mampu melakukannya.


Ini kerana, dia boleh mendapatkan khidmat ulama dan nasihat mereka. Betapa ramai pemerintah yang bukan saintis tetapi berjaya menyuburkan perkembangan sains dan teknologi dalam negaranya. Sebaliknya, jika pemerintah itu lulusan pengajian Islam sekalipun, tetapi tiada hasrat meletakkan keadilan seperti yang dituntut oleh Islam, maka maksud siasah islamiyyah tetap tidak akan tercapai.


Kemudian, apa yang menjadi masalah kepada masyarakat kita siapakah ulama menurut kefahaman orangramai?. Apakah seseorang itu dianggap ulama hanya kerana dia berkelulusan pengajian Islam? Atau kerana dia memakai jubah dan serban? Atau kerana dia dipanggil ‘ustaz’?. Perkataan ulama berasal dari ‘ilmu’. Bermaksud seseorang yang menguasai ilmu. Jika ia dikaitkan dengan pengajian Islam membawa maksud seseorang yang menguasai ilmu dalam bidang pengajian Islam.


Bidang pengajian Islam itu pula luas; ada bab ibadah, muamalah, siasah, tazkiyah al-nafs dan lain-lain. Apakah jika seseorang yang hanya menguasai satu bidang sahaja sedangkan tidak kemahiran dalam siyasah atau politik, layak digelar ulama yang boleh memerintah? Al-Imam al-Mawardi sendiri meletakkan salah satu dari tujuh syarat khalifah mempunyai pemikiran yang memampukannya menguruskan politik dan kemaslahatan rakyat jelata. Jika dia bergelar ulama, tetapi ‘kontang’ dalam soal ini, dia tidak layak.


Saya berpendapat perbahasan; samada ulama atau professional yang layak menjadi ketua negara hanya membazirkan waktu. Apa yang penting kita hendaklah jelas; apakah yang kita kehendaki daripada pemerintahan dan politik? Yang menjadi tanggungjawab politik islami adalah keadilan dan kesejahteraan yang berdasarkan petunjuk wahyu.


Dalam melaksanakan maksud ini, hasrat seseorang pemerintah yang dibantu oleh ilmu pengetahuan adalah penting. Jika dia ulama yang mahir dalam politik serta mempunyai ketangkasan siasah, tentulah itu yang terbaik. Jika dia seorang ahli politik yang mahir sekalipun tidak ulama, dia boleh dibantu oleh para ulama yang mendokong hasratnya. Apatah lagi kita kini dalam kerangka negara moden yang lebih teratur dan tersusun dibanding negara pada zaman buku-buku klasik politik Islami itu ditulis.


Apa yang menjadi masalah adalah jika seseorang jahil atau tidak mahir pentadbiran dan siyasah tetapi ingin memerintah. Sekalipun dia memakai gelaran ‘ulama’ ataupun professional. Justeru itu, Nabi s.a.w bersabda kepada sahabah baginda yang soleh dan warak Abu Zar al-Ghifari :


“Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya.” (Riwayat Muslim).


Namun Khalid bin al-Walid r.a. sekalipun Nabi s.a.w. pernah menegur dan membantah beberapa tindakannya yang melanggar disiplin peperangan yang digariskan oleh baginda, tetap baginda pilih mengepalai tentera Islam dan menggelarnya sebagai pedang Allah. Ini kerana kemampuan yang dimiliki Khalid tidak dimiliki oleh sahabat-sahabat lain, sekalipun mereka lebih berilmu dan dekat dengan Nabi s.a.w dibandingkan Khalid.


Al-Imam Ibn Taimiyyah dalam Al-Siyasah al-Syar`iyyah fi Islah al-Ra`iy wa al-Ra`iyyah menyebut: “Apabila dua orang, salah seorangnya lebih amanah dan seorang lagi lebih kuat (mampu) maka hendaklah didahulukan yang lebih bermanfaat untuk jawatan berkenaaan dan paling kurang mudharatnya bagi jawatan tersebut. Maka dalam mengepalai peperangan, yang kuat dan berani -walaupun padanya ada kejahatan- diutamakan dari lelaki yang lemah dan tidak berkemampuan walaupun dia seorang yang amanah.


Maka tanggungjawab umat Islam sekarang bukan membincangkan ‘ulama’ atau ‘professional’ yang layak memerintah, tetapi melihat tanggungjawab jawatan tersebut dalam kerangka politik hari ini dan siapakah yang paling sesuai atau paling berkesan dalam mencapai matlamat sebuah negara yang adil dan dirahmati Allah. Isunya bukan isu gelaran, atau jenis pakaian, tetapi isu amanah dan kemampuan dalam mentadbir dan menguruskan kehidupan rakyat.

Saturday, May 9, 2009

Pemuda Menuju Penyatuan & Perpaduan

Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan Kali Ke 50, telah menjadi perhatian banyak pihak terutama pertandingan yang melibatkan Ketua Pemuda (Ust Nik Abduh vs YB Ust Latiff). Di dalam Kelantan & diluar Kelantan. Malah didalam akhbar terutama Akhbar Utusan Malaysia & Sinar Harian telah menjadi tajuk utama.

Kehangatan sebelum muktamar, sebenarnya tidak berlarutan ke dalam muktamar. Apa yang dimainkan oleh media dan blog-blog seperti tidak memberi kesan langsung kepada para perwakilan.


Muktamar yang dimulakan oleh Ucapan oleh YB Zaki dilihat ingin memperbetulkan kefahaman kepimpinan ulama’ & pertembungan ulama’ – professional. Malah sekali lagi dipertegaskan lagi didalam ucapan perasmian oleh Sdr Sabki Yusof (Setiausaha DPP Pusat)

AlhamduliLlah, hampir jam 4.00 petang, keputusan telah diumumkan secara rasmi oleh Ketua Urusetia Pemilih dan mengumumkan pemenang-pemenang, antaranya seperti berikut :


Ketua Pemuda : YB Ust Hj. Abdul Latiff bin Abdul Rahman
Timbalan Ketua : YB Ust Hj. Ahmad Baihaki bin Atiqullah

Naib Ketua : Sdr. Hisyam bi
n Fauzi

Manakala ahli jawatankuasa yang diumumkan banyak memperlihatkan muka-muka baru, yang bagi saya memberi isyarat ‘suasana segar’ untuk pemuda Kelantan bergerak. Munculnya tokoh-tokoh ulama’ muda seperti Ust Ahmad Fadhli Shaari dan Ust Nor Azariza memperlihatkan pemuda Kelantan tidak kekurangan pelapis.
Ust Fadhli


Ust Nor Azariza (Ust Jaa)

Ramai yang bimbang, muktamar kali ini akan menyebabkan perpecahan yang berlaku selama ini (dikatakan bermula tahun 2003) akan berlarutan. Saya yang terlibat secara tidak langsung, melibatkan diri dalam kepemudaan sejak tahun 2001, dapat melihat & mengikuti 'suasana panas' yang berlaku semenjak tahun 2003.

Tapi bagi saya, melihat kepada senarai yang menang, cepat-cepat mengucapkan ALHAMDULILLAH, kerana insyaAllah…. Dewan Pemuda PAS Kelantan kembali menuju kearah penyatuan & perpaduan. Mungkin bukan untuk kali ini, tetapi ia seakan-akan bergerak ke arah itu…. insyaAllah.

Dengan kepimpinan yang baru, pastinya akan mewujudkan suasana harmoni bagi menjaminkan Dewan Pemuda PAS Kelantan terus bangkit dan bangkit dan bangkit… insyaAllah


Saya menaruh harapan dan keyakinan tinggi terhad
ap keinginan tersebut.

Didalam muktamar tersebut juga, bersetuju untuk mencalonkan bekas Ketua DPP PAS Kelantan, YB Mohamad Zaki bin Ibrahim untuk bertanding sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Siiruu ‘ala barakatiLLah!!!!

Friday, May 8, 2009

Ulama' & Profesional : Debat Yang Bukan Isu

Artikel menarik yang dipetik dari Malaysia Insider (Tulisan Dr Mujahid Yusuff Rawa)

Ulamak adalah satu ungkapan yang digunakan untuk menggambarkan satu status yang dimilik oleh seseorang hasil dari ilmunya yang tinggi tentang Islam dan beliau menjadi rujukan orang ramai dalam masalah memahami ilmu-ilmu Islam.


Ulamak juga dikait rapat dengan ketegasannya mempertahankan prinsip-prinsip Islam dan mempunyai pengikut yang setia dididik dengan rasa cinta kepada Islam. Sekurang-kurangnya itulah yang kita faham maksud dan peranan ulamak sebagai gelaran individu yang diberi kepada seseorang, walaupun tidak semua ulamak secara praktikalnya memiliki sifat-sifat mempertahankan prinsip Islam malah menjadi alat pemerintah untuk menyedapkan halwa telinga golongan al malak (elit pemerintah).


Oleh Nabi s.a.w. dikategorikan ulamak sebagai dua golongan: ulamak as su’u (ulamak jahat jadi alat golongan pemerintah) dan ulamak al haq (ulamak yang menegakkan kebenaran tanpa takut). Ada hadis lain yang mengaitkan gabungan ulamak dan pemerinah sebagai dua entiti yang mempengaruhi masyarakat: “dua golongan apabila baik mereka baiklah masyarakat dan apabila rosak mereka rosaklah masyarakat, ulamkatak dan umara’ (pemerintah)” jadi ulamak pastinya satu istilah yang besar maknanya dalam strata social dan memainkan peranan membentuk masyarakat yang baik.


Tetapi soalannya,apakah kaitan istilah ulamak dan tidak ulamak dalam PAS?


Ia bukan sahaja menjadi polemik bahkan sejak 1983 lagi istilah ulamak ini begitu sinonim dengan PAS yang telah memakai istilah ini kepada kepimpinannya sehingga ia dikenali hari ini sebagai “‘kepimpinan ulamak”. Apa maksudnya kepimpinan ulamak dalam konteks PAS?


Istilah ini muncul ketika PAS bergelut untuk keluar dari kemelut dalaman yang dihadapinya hasil dari kepimpinan Datuk Asri yang dipertikaikan. Salah satu masalah kepimpinan Asri ialah dikatakan membuat keputusan hanya dikalangan segelintir kelompok sahaja dalam jawatankuasa PAS Pusat.


Asri cuba menjadikan keputusan parti diambil dikalangan kelompoknya sahaja maka timbullah pertikian terhadap cara keputusan dibuat.


Khusus dari Pemuda di bawah kepimpinan Datuk Mustafa Ali ketika itu, ulamak keputusan lalu mendesak untuk satu alternative kepada kemelut ini iaitu dengan mengemukakan kepimpinan ulamak yang secara pokoknya keputusan mestilah dibuat secara syura dan keahlian syura dibentuk terdiri dari kalangan para ulamak yang tahu ilmu Islam bagi memastikan keputusan dibuat tida bercanggah dengan Islam.


Dari sudut cadangan, yang tersirat ialah supaya Jawatankuasa Kerja PAS diimbangi keputusannya bagi memelihara cara keputusan dibuat. Maka dijelmakanlah satu komponen pembuat keputusan parti yang dinamakan sebagai Majlis Syura Ulamak yang secara ringkas, bidangkuasanya ialah bersifat “advisory” dan “guidance” kepada masalah-masalah dasar yang melibatkan pendekatan politik, disiplin parti dan isu-isu berbangkit dari sudut fiqah Islam yang ada kena mengena dengan kepentingan parti.


Cadangan ini yang diusulkan oleh Pemuda pada Muktamarnya tahun 1982 diterimapakai dan pada tahun 1983 bermulalah era kepimpinan ulamak.


Jadi kepimpinan ulamak bermatlamatkan mekanisma keputusan dibuat dan bukan individu-individu yang ada status ulamak untuk dijadikan orang No. 1 atau No. 2, ia berkenaan majlis syura yang keahliannya adalah dari kalangan ulamak bukan jawatankuasa kerja yang mesti keahliannya dari ulamak.


Dengan kata lain bermula dari Presiden hinggalah AJK PAS Pusat, perlembagaan parti tidak mensyaratkan keahlian tertentu dari sudut keulamakannya atau tidak, ia hanya terbatas kepada Majlis Syura Ulamak.


Cukuplah Presiden ke bawah sebagai anggota eksekutif parti meyakini dasar Islam dan mengamalkan cara hidup Islam serta memiliki matlamat yang jelas tentang Islam sebagai asas pemerintahan dan bernegara. Presiden tidak perlu risau kerana ia akan dipandu oleh para ulamak dalam majlis syura apabila ia buntu.


Bagi bidang eksekutif anggotanya yang kalau pun ada keahlian, ia mestilah dinilai dari sudut keupayaannya membawa organsiasi parti dan aspirasi parti, menyusun ahlinya kepada matlamat kerja parti dan merancang strategi dnegan segala keperluan taktikal dan teknikalnya.


Itulah yang menjadi isu yang patut dinilai oleh ahli dalam menentukan siapakah kepimpinan yang bakal menerajui PAS, bukan samada mereka ulamak atau tidak!


Kalau hendak melantik ahli majlis syura saya setuju jika kita pertikaikan ulamak atau tidak tetapi sayangnya ahli majlis syura ulamak tidak dipilih oleh perwakilan, mereka dilantik mengikut perlembagaan parti. Oleh itu saya tidak melihat ianya sebagai isu!


Selain daripada isu asas dan sejarah parti yang perlu difahami, kita juga harus insaf bahawa PAS belum lagi mempunyai satu piawaian yang dipersetujui tentang apakah dan siapakah yang dikatakan ahli PAS?


Jika piawaian ahli ini boleh dilaksanakan maka tidak timbullah lagi ulamak atau tidak ulamak, yang ada ialah ahli PAS yang dipersetujui piawaiannya oleh semua, sehingga satu mekanisma ciri-ciri ahli PAS yang ditentukan oleh parti tidak dibuat dan dijelmakan dalam sumber manusia parti, isu ini akan sentiasa berulang khususnya setiap kali pemilihan parti menjelang tiba.


Apatah lagi hari ini Umno begitu “berminat” kepada isu ulamak atau tidak ulamak. Utusan Malaysia yang jarang sekali membawa cerita PAS dalam liputannya, kerap sejak akhir ini membesarkan-besarkan ulamak tidak ulamak ini, samada mereka ikhlas atau tidak masih menjadi tandatanya,namun yang pasti pemilihan kali ini menarik minat semua pihak dna isu ulamak tidak ulamak adalah bola tanggung yang kita berikan kepada mereka untuk mensensasikan berita!


Sesungguhnya ulamak atau bukan ulamak hanya debat yang bukan isu!

Thursday, May 7, 2009

Bersama Tok Guru Mursyidul Am

Wawacara ini boleh didapati dalam Harakah (Bil. 1436, Tarikh : 8-10 Mei 2009)



Nampaknya isu golongan ulama dan profesional dalam PAS diperdebatkan secara terbuka di media sekarang. Bagaimana Tuan Guru melihat situasi ini?


Sepatutnya tidak berlaku pengasingan di antara ulama dan profesional. Tetapi pengasingan berlaku juga hasil daripada penjajahan barat yang mengasingkan agama dan politik. Sampai kita terbawa-bawa dengan isu tersebut.

Bukan sekadar berlaku di
Malaysia tetapi di negara Arab juga. Negara Arab dijajah Perancis. Penjajah mengasingkan agama dan politik. Mereka sebarkan kefahaman itu di sekolah sehingga ke universiti. Dan apabila penjajah pulang, negara bekas jajahan yang tidak kuat pengaruh agama terpengaruh juga menerima agama lain dan politik lain. Sedangkan agama dan politik adalah perkara yang satu tidak boleh diasing-asingkan.

Dalam al Quran, Allah Taala menyebut dalam surah Fathir ayat 27 yang bermaksud Allah turunkan air dari langit sehingga keluar buah-buahan dari perut bumi dengan bermacam warna dan beraneka rasa. Dan ayat 28 pula bermaksud orang yang gerun kepada Allah ialah ulama.

Ini bermakna ulama tidak bererti hanya mengajar fiqah sahaja tetapi pandai juga mentadbir. Misalnya air yang diturunkan dari langit ini ada kaitan dengan ilmu astronomi. Ulama kena tahu kedudukan langit. Hujan turun dari langit ke bumi. Air yang turun ditampung oleh udara menyebabkan hujan yang turun bertitik-titik dan tidak segumpal jatuh di atas kepala kita.

Ini bermakna ulama dan profesional adalah orang yang sama. Di Kelantan kita banyak buka pengajian agama. Dan sekarang kita buat Maahad Tahfiz Sains, di mana anak kita hafal al Quran dan tahu ilmu sains. Kita hendak lahirkan pelajar yang ada ilmu agama dan sains. Dan 20 atau 30 tahun akan datang penghulu kampung sehingga ketua jajahan dan menteri besar adalah mereka yang hafal al Quran dan tahu bidang sains.


Isunya, terdapat pendapat sesetengah pemimpin PAS menyebabkan penyokong peringkat akar umbi tidak faham?


Sepatutnya tidak berlaku kekecohan seperti sekarang kerana kita sudah lama gabungkan ulama dan profesional. Saya tidak faham kerana apa timbul cerita ini.
Ada sesuatu macam kena kecek (pengaruhi). Mungkin mereka terpengaruh dengan pihak lawan.

Di Kelantan PAS jauh ke hadapan berbanding dengan Umno untuk menawan hati rakyat khasnya non-Muslim. Kita sebut orang Melayu,
Cina, India, Siam adalah serupa kerana kita manusia belaka. Maka tidak timbul hendak letak kelompok-kelompok tertentu.

Dalam solat kita sebut ‘Maliki Yaul Middi’ - pembalasan di akhirat kelak dia tidak kira perlembagaan
Malaysia ke, Inggeris, Greek tua atau apa-apa sahaja. Allah Taala hanya kira perlembagaan yang Dia buat iaitu al Quran.
Ulama mesti tahu segala-galanya. Orang yang hendak pimpin sama ada hendak sebut nama Ikwan, Jemaah Islam ke atau apa sahaja perlu tahu agama dan agama itu bermaksud tahu juga akademik.

Akademik bermaksud menerangkan kekuasaan Allah. Bagaimanapun proses Allah menurunkan air... alim ulama kena tahu. Dan air menyuburkan pokok sehingga mengeluarkan buah yang bermacam-macam rasa. Saya tidak faham kenapa hendak kecoh sekarang.


Secara umumnya, pada kebiasaan fahaman kebanyakan orang, ulama dianggap hanya mereka yang berpendidikan agama? Adakah pendapat ini benar?


Itu fahaman lama ketika agama Islam masuk ke Tanah Melayu. Orang yang mengajar agama tidak banyak tahu ilmu akademik. Sumber ilmu yang diambil di Makkah tidak banyak dalam bidang akademik. Bagaimanapun sekarang di Makkah dan di mana sahaja ada bermacam-macam ilmu akademik. Al Quran dia hafal dan akademik pun dia tahu. Generasi baru sekarang menerajui gerakan Islam.


Pada persepsi Tuan Guru, apa pula yang dimaksud profesional?


Pada tanggapan saya, ialah orang yang belajar ilmu akademik. Akademik itu ilmu Allah juga. Siapa rajin dia dapat. Di Kelantan pada peringkat awal institusi pondok mengajar masyarakat pandai agama. Selepas itu berkembang menjadi Jami’ Merbau di mana ilmu pengajian lebih banyak berbanding pondok.

Selepas itu ditingkatkan lagi menjadi Maahad Muhammadi dan perkembangan ilmu semakin meluas. Secara jelas di sini, apabila disebut ulama akan termasuk sama bidang akademik.


Bolehkah kita kata, pakar ekonomi atau bidang-bidang lain dikenali juga sebagai ulama, memandangkan meraka ada asas agama?


Kalau tidak tahu Islam, tidak bolehkan hendak dikatakan sebagai ulama. Mereka yang sokong PAS tetapi tidak ada ilmu agama, kita tidak boleh lantik sebagai pemimpin. Misalnya kalau kita hendak bawa kapal di laut, bukan sekadar pegang stereng sahaja tetapi kena tahu pelbagai perkara mengenai laut.

Dia kena ada pengetahuan mengenai awan, cahaya matahari dan keadaan laut. Orang yang hendak jaga negeri mesti ada asas agama. Di Kelantan ketika kita mula-mula mentadbir, saya minta pindahkan wang daripada bank riba ke Bank Islam. Cara macam mana hendak buat itu orang belajar bidang akademik yang lakukan. Orang hendak jadi Menteri Besar kena tahu ilmu akademik dan agama.


Adakah, barisan anggota Exco yang Tuan Guru lantik sekarang, boleh dikategori sebagai ulama?


Katakanlah orang itu tidak belajar di pondok, tetapi dia duduk lama dengan saya. Dia tengok perangai saya, dia dengar ucapan saya, dan hadir usrah bersama saya, macam mana boleh dikatakan tidak belajar agama. Tidak semestinya belajar di pondok baru boleh dikatakan tahu asas agama. Mereka semua sudah lama bekerja dengan saya. Sepanjang perkhidmatan itu mereka boleh menimba ilmu agama. Jadi boleh dikategorikan mereka sebagai ulama juga.


Apa nasihat Tuan Guru bagi mengatasi percanggahan pendapat yang sedang berlaku sekarang?


Saya nasihatkan kita kembali kepada asal. Ini kerana agama ada jalinan dengan akademik. Dalam Islam ada disebut agama dan daulah.
Ada pun fahaman yang mengatakan agama lain dan politik lain adalah dibawa oleh penjajah.
Kita
cuba usaha ranapkan pengaruh penjajah dari sehari ke sehari. Tidak ada pasal hendak kita timbulkan isu tersebut. Kita telah lama memilih pemimpin yang ada asas agama.

Sekarang nampak kejayaan apabila orang bukan Islam juga sudah tertarik dengan PAS. Orang Cina yang sokong Pakatan Rakyat sudah pandai beri salam, sedangkan MCA, MIC sudah lama berkawan dengan Umno. Namun mereka tidak memberi kefahaman Islam kepada bukan Islam. Generasi orang bukan Islam sekarang sudah ramai berpelajaran. Dan Islam dari awal lagi menyarankan supaya menuntut ilmu. Islam sesuai dengan akal fikiran manusia.


Hari ini ramai pemimpin tampil menawarkan diri untuk bertanding jawatan dalam PAS, pada pendapat Tuan Guru tidakkah itu boleh menimbulkan masalah?


Mereka yang menawar diri untuk bertanding kerana sudah lama berjuang dalam PAS. Mereka tahu asas-asas Islam. Dan kita belum dengar ada orang mengkritik calon-calon tersebut tidak sembahyang atau engkar ajaran agama. Jadi terpulang kepada perwakilan bagi memilihnya. Saya suka orang tawar diri untuk berkhidmat kepada gerakan Islam.


Pada pandangan Tuan Guru wajarkah jawatan utama dikekalkan?


Kita beri peluang kepada kawasan untuk mencalon dan memilih kecuali kalau ada masalah selepas muktamar kita wujudkan peraturan khusus.


Tidakkah pertandingan itu boleh menimbulkan perpecahan dalam PAS?


Kita hendak cari manusia yang tidak berpecah tidak ada. Allah telah sebut sebelum Nabi Adam dibawa turun ke bumi di mana Allah Taala menyebut "Hai Adam apabila kamu turun ke bumi, kamu akan bertengkar sesama sendiri. Bagaimanapun bagi mana-mana orang yang turut hidayah Aku akan senang lenang tanpa ada sebarang masalah." Sekarang perwakilan sudah ramai. Kita memilih menggunakan kertas undi dan tidak lagi angkat tangan.


Sebelum ini media utama menganggap wujud dua kelompok dalam PAS. Satu pro Endorgan dan satu lagi konvensional. Benarkah tanggapan ini?


Itu sekadar tanggapan yang dimainkan media hendak lariskan suratkhabar mereka.
Ada sesetengah wartawan menulis dengan hasrat mahu melaga-lagakan, dan ada juga wartawan yang lebih berhati-hati kerana mengambil sikap tanggungjawab di dunia dan akhirat.

Dalam PAS hanya ada satu kumpulan yang berjuang untuk mendaulatkan Islam. Perjuangan kita di atas dunia hendak daulatkan Islam dan di akhirat mahu di tempatkan oleh Allah Taala ke dalam syurga.


Baru-baru ini timbul dakwaan dalam blog kononnya Tuan Guru dinasihatkan oleh pembantu yang
cuba melaga-lagakan Tuan Guru dengan Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang. Apa komen Tuan Guru?

Saya sudah tegur orang terbabit. Hendak cari orang yang tiada silap ini tiada. Orang yang tiada silap langsung ialah kaki lepak yang tidur sepanjang masa. Kesilapan tersebut maka agama ajar suruh nasihat menasihati antara satu sama lain.


Bagaimana pula dengan isu 'Unity Government' yang timbul baru-baru ini?


Tidak timbul lagi sekarang kerana Presiden telah menarik balik cadangan tersebut.

Sunday, May 3, 2009

Suara-suara Gelap Dalam PAS

Meneliti Calon-calon Timbalan Presiden Sejak 2003


2003

Senator Ustaz Hassan Shukri

Dato’ Mustapha Ali



2005

Ust Hassan Shukri

Ust Nasharuddin Mat Isa

Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman



2007

Ust Nasharuddin Mat Isa

Ust Harun Taib



Pertengahan 2002

Ust Fadzil Noor telah kembali kerahmatuLlah. Sejak itulah kekosongan jawatan Timbalan Presiden PAS telah dicari-cari setelah Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang memangku jawatan Presiden.


Tahun 2003

Seperti sedia maklum, 3 tokoh telah diangkat untuk bertanding. Senator Ust Hassan Shukri, Prof Dr Haron Din & Dato’ Mustapha Ali. Tetapi pada hari pemilihan, Prof Dr Haron Din telah menarik diri. Maka pertembungan di antara Dato’ Mustapha Ali dengan Senator Hassan Shukri telah berlangsung.


Pada waktu tersebut, tiada kedengaran lagi suara-suara yang mengatakan ulama’ yang perlu menduduki jawatan timbalan presiden. Jika ada, pastinya Dato’ Mustapha Ali awal-awal lagi menarik diri, kerana beliau dilihat sebagai bukan ulama’.


Tahun 2005

Sudah mula suara-suara kedengaran perkataan Ulama’ vs Profesional. Senator Hassan Shukri dan Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman dilihar mewakili kelompok ulama’, manakala Ust Nasharuddin dilihat mewakili kelompok professional walaupun beliau sebenarnya berlatar belakangkan ulama’.


Tahun 2007

Seperti biasa, apabila hampir tiba Muktamar, perkataan Ulama’ vs Profesional kembali bergema. Entah mengapa, perkataan tersebut menjadi-menjadi pada pemilihan tersebut. Ust Harun Taib yang meninggalkan Dewan Ulama’, menawarkan diri untuk menjadi calon Timbalan Presiden bagi mewakili kelompok ulama’. Manakala Ust Nasharuddin mempertahankan jawatan dan sekali lagi dilihat mewakili professional


Tahun 2009

Perkataan Ulama’ vs Profesional, sekali lagi kedengaran. Calon-calon yang agak hangat sekarang ialah, Ust Nasharuddin, Dato Husam Musa dan Hj Mohammad Sabu. Entah macammmana, Ust Nasharuddin yang sejak tahun 2005 mewakili kelompok professional, tiba-tiba bertukar mewakili kelompok ulamak. Dato Husam pula yang dilihat mewakili golongan professional, manakala Hj Mohamad Sabu dilihat sebagai mewakili aktivis bawahan


Bagi aku, samada dia professional atau ulama’ atau mana-mana title sekalipun, yang penting kelayakkan adalah kriteria utama. Dan ini bertepatan dengan penegasan Allahyarham Ustaz Ustaz Fadzil Nor yang pernah mengatakan tidak semestinya lulusan agama menjadi Presiden PAS jika ada orang bukan lulusan agama lebih berkarisma dan berpegang teguh dengan konsep, dasar dan prinsip perjuangan PAS.


Jika presiden pun boleh dijawat oleh mana-mana pihak, inikan pula Timbalan Presiden.


Bertandinglah, tetapi jangan sampai menghina sesama sendiri. Kerajaan perpaduan yang hendak diteroka bukan hanya dengan UMNO, tetapi didalam parti sendiri pun mesti juga diteroka……


Saya merasakan, semua ini terjadi kerana adanya ‘suara-suara gelap’ yang sedar atau tidak sedar ingin menghancurkan parti…