Monday, April 27, 2009

Kerja-kerja yang sepatutnya ada dalam PAS


Gegak gempita 3-4 hari ini,
apabila menyaksikan ‘karenah-karenah’ yang agak kurang menyenangkan.

Aku sejak melibatkan diri dalam dunia blog ini, tak pernah pun menyentuh isu-isu dalaman yang berkaitan dengan PAS dalam blog kerdil aku ini. Bagi aku, disini bukan tempatnya.


Secara peribadi, kehangatan ini timbul kerana hampirnya Muktamar PAS Pusat (5-7 Jun). Dan yang menjadi perhatian sekarang ialah pertembungan Timbalan Presiden. Ada kawasan yang mencalonkan Ust Nasharuddin Mat Isa, ada yang mencalonkan Dato Husam, ada yang nakkan Mat Sabu. Itulah nama-nama yang agak glamour sekarang.



Bagi aku, jika ada pertandingan, silalah bertanding… para penyokong-penyokong berkempenlah… tetapi DENGAN SATU SYARAT…. JANGAN MENGHINA ANTARA CALON DENGAN CALON YANG LAIN. Jika ‘kunci’ ini dapat dipegang, insyaAllah perpaduan dalam PAS akan terus terjaga.


Nafi atau tidak, PAS sekarang seperti terbelah kepada beberapa kelompok. Ada yang dinamakan golongan ulama’, ada yang dinamakan golongan profesional, ada yang pula dinamakan golongan syiah.


Yang dikatakan ulama’ seperti menyerang yang dikatakan profesioanal dan syiah. Dan begitulah sebaliknya. Bagi aku ulama’kah dia, professionalkah dia, syiah'ah dia, ini adalah kesinambungan kepimpinan ulama’ yang berlaku dalam PAS awal 80an, ekoran gelombang revolusi di Iran. ‘Prof’ atau ‘Ir’ kah dia, kedua-duanya adalah mendapat tarbiyah dari kepimpinan ulama’. Tak manis, apabila kita (ulama’) menghentam anak didik sendiri.


Bagi aku, kenyataan daripada seorang pimpinan pemuda pusat baru-baru ini terlalu kasar, dan merasakan perpecahan akan menjadi lebih tak terkawal.


Kasar… memang kasar…... Malah Ust Ahmad Awang (seorang ulama’) juga terasa resah & keliru dengan kenyataan tersebut.


Aku ada bertanya dengan seorang pimpinan dalam isu ini, dia menjawab secara sinis ‘ustaz-ustaz kita ada lesen besar, bukan ustaz semua tak berguna’.


Ada sahabat dari Pahang yang menelefon bertanya aku pasal hal ini. aku hanya mampu jawab ‘tak tahu’. Sambil seloroh, aku mengatakan isu laga melaga ini bukan melibatkan TGNA-TGHH, tetapi melibatkan pembantu-pembantu TGNA dengan pembantu-pembantu TGHH. Dia bertanya lagi dengan terkejut, siapa pembantu-pembantu TGHH??? Aku hanya jawab… mungkin ‘kelantannese vs terengganurian’.


Adik aku yang berada di sarawak pula, memberikan reaksi dengan mengeluh ‘kerajaan perpaduan dengan UMNO nok cari, tetapi kerajaan perpaduan dalam parti sendiri tok sei cari’.


Aku hanya sekadar merenung jauh.


Sekarang ini, pelbagai pihak yang telah bagi respon… ada yang menyokong dan ada yang menentang kenyataan sedemikian. Yang menyokong ada yang bergelar ulama’ dan ada yang bergelar professional, dan begitulah sebaliknya…. Aku terfikir, dimana untungnya Islam apabila isu ini ditimbulkan???


Atau ini mungkin satu gerakan untuk mengulangi sejarah yang menggunakan tajuk kepimpinan ulama’ untuk menghumbankan Dato’ Asri keluar dari PAS? NauzubiLlah….


Aku bukan hendak menyokong mana-mana pihak, tapi bagi aku semua pihak perlu disokong dan perlu dihormati. Walau sealim mana pun kita, setinggi mana pun pengajian kita, kita dilarang menghina seseorang (melainkan musuh)…. Tambahan pula orang yang dihina, adalah mereka yang sama-sama ‘melukakan diri’ untuk berjuang didalam PAS.


2-3 malam ini asyik termenung….. sejak ketiadaan TGNA yang berangkat ke Mekah, keadaan menjadi huru hara yang meng’azab’kan…………… adakah PAS akan menjadi sebegini setelah ketiadaan TGNA. NauzubiLlah!



* Harap-harap kepulangan TGNA pada awal Mei nanti akan meredakan keadaan, insyaAllah…

9 comments:

R'zley theshoots said...

Salam Kamunting,

Di meja makan di bahagian dapur di rumah ayahanda yang saya masih kekal tinggal bersama sedari kelahiran dulu, selalulah saya bersembang dengan ayahanda pasal macam - macam hal kehidupan yang biasanya akan panas dan panjang bila ianya berulamkan politik dan perjuangan.

Terbaru saya lontarkan kepadanya hujahan para ulama daripada buku yang saya baca mengenai keabsahan seorang muslim untuk hadir dan turut sama menjawat dan memerintah di dalam sebuah kerajaan yang bukan Islam.

Saya sebutkan kepada ayahanda bagaimana para ulama mengambil bahagian cerita Nabi Yusuf alaihissalam menjawat jawatan sebagai menteri kewangan di dalam sebuah kerajaan syirik Mesir kuno sebagai hujah utama dan vital yang membenarkan penawaran untuk turut membantu pemerintahan bukan negara Islam.

Syarat terpenting yang menjadi pemutus ialah jemputan kepada jawatan itu mestilah dalam kemuliaan dan kekuatan. Mereka meminta dan kita berhak memutus, bukan mereka. Kemudian kita tidak diikat dengan syarat - syarat yang menghalang unsur keadilan Islam untuk ditegakkan. Masuk dengan kemuliaan sebagaimana Nabi Yusuf dijemput untuk turut mempersembahkan kebijaksanaan dan keadilannya ke atas rakyat dalam pemerintahan tersebut.

Saya kemukakan untuk memukaddimahkan perbincangan mengenai kerajaan Pakatan Rakyat dan Unity Government yang dicadangkan sebagai alternatif kepada kerajaan BN hari ini sedang merasai kepedihan dihimpit kemarahan rakyat yang melata.

Saya memberanikan untuk berhujah bahawa samada BN atau Pakatan Rakyat, kedua - duanya bukan daripada jenis negara Islam. Maka menerima kerajaan mana pun, hujahnya ada dan hujah itu terpakai dengan syarat ketat sebagaimana yang digariskan ugama tersebut.

Selamba saja ayahanda memberi komen. “Ya, jika BN mahu kita bersama, mereka mestilah bersedia memberikan kita jawatan - jawatan yang penting yang kita akan laksanakan program Islam di dalamnya. Berikan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan misalnya. Kita nak jadi PM mesti mereka tak terima. Jadi kita minta apa yang penting untuk kepentingan rakyat dan negara. Kita boleh bersama.”

Saya memiliki banyak cerita menarik di sebalik apa yang anda tahu mengenai ayahanda. Komennya di atas bukankah mencetuskan persoalan ini di benak anda, bukankah Tok Guru lantang menolak Unity Government? Bukankah Tok Guru berang dengan cadangan Tuan Guru Hj Hadi ini?

Biar saya bagitahu anda, ayahanda hidup dengan hujah. Itulah makanan berkhasiat yang memanjang dan memberkati umurnya. Bila hujah ugama itu ada, bagaimana ayahanda akan tolak mentah - mentah?

Justeru fahami ini bahawa ‘Unity Government’ yang ditolak ayahanda adalah jenis kerajaan yang difahamkan kepadanya oleh pembantu - pembantu ayahanda yang berpakaian serba tahu. Mereka seronok untuk melaga -lagakan di antara TGNA dan TGHH.

Mereka menyangka mereka telah melakukan kebaikan, sedang telah sesatlah segala usaha mereka di sisi tuhan. Semoga Allah membalasi mereka dengan kejahatan yang mereka lakukan!

Bukankah anda dapat lihat bagaimana semacam ayahanda menghentam ‘kerajaan campuran’ bukan unity Government? Bukankah selepas pertemuan kurang sepuluh mata bersama TGHH, ayahanda tidak lagi menyerang. Ertinya sesuatu yang baru dan meyakinkan telah diperolehinya daripada TGHH. Itulah yang disembunyikan secara sengaja daripadanya.

Di mana pergi pembantu - pembantu ayahanda yang sesat pekerjaan mereka itu di sisi tuhan!? Semoga Allah melaga- lagakan di antara mereka pula di dunia ini agar mereka segera bertaubat!

Modus Operandinya sama. Selepas pertemuan ayahanda dengan ulama PAS di JKR 10 beberapa bulan lepas, ayahanda menerima muzakarah atau muqabalah selepas bermatian menolaknya. Saya diberitahu daripada sumber yang diyakini, sesetengah pembantu ayahanda ini menyumpah seranah kerana kegagalan mereka mengekalkan ayahanda dalam suasana keruh dan panas dengan TGHH. Mereka gagal selepas mereka yakin berjaya. Allah menggagalkan usaha jahat mereka.

Ayahanda seorang yang hebat. Antara kehebatannya adalah ‘husnuzhan’ dengan semua orang. Semua orang boleh hidup di sekelilingnya. Pembantu, pengampu, pencacai dan sesiapa pun. Tolak babi dan anjing! Tuhan membalas atas pekerjaan masing - masing.

Adapun penghormatan ayahanda terhadap TGHH, maka ia adalah penghormatan yang gagal diperolehi kecuali oleh para ulama. Ayahanda sering memuji TGHH. Saya pernah mendengarnya menakjubi ucapan TGHH di Parlimen yang dibacanya di dalam Harakah sedang masa itu suasana panas isu muzakarah masih memuncak. Sesetengah pembantu ayahanda merasa iri dan hasad selepas penghormatan itu gagal menempati diri mereka.

Bagaimana mereka akan memperolehinya, sedang mereka hanya belajar ugama sekadar ‘mi celup’, lalu mendakwa mereka pun ulama juga dengan istilah - istilah ugama yang dihafal, bukan difaqihi?

Dunia ulama adalah penuh disiplin. Taqwa adalah disiplin terbaik. Taqwa adalah milik ulama, bukan milik orang yang mengaku ulama atau ulama mini sekali pun. Kita tidak mampu merebutinya kerana ia adalah kurniaan khas daripada Allah. Kita hanya mampu meminta daripadaNya.

Menghampiri proses pemilihan menjelang Muktamar PAS nanti, anda sedang menyaksikan usaha daripada pelbagai sudut dan penjuru, jauh dan dekat oleh sesetengah yang mungkin saja saya sifatkan sebagai sekumpulan ‘pejuang nafsu’ yang tersusun untuk memisahkan di antara ulama yang disayangi rakyat.

Ayahanda digunakan. Inilah calon restuan Tuan Guru Nik Abdul Aziz! Inilah calon restuan Kelantan!Bukankah sebelum ayahanda berangkat ke Mekah, beliau secara jelas mengumumkan untuk tidak berpihak dan menyatakan keenggananya bersuara, bimbang ia mengganggu emosi ahli PAS di dalam kebebasan memilih?

Di mana adab? Di mana kesetiaan? Di mana sifat malu?

Masihkah anda mahu hanyut dalam dunia politik yang kotor hatta dalam PAS? Jika begitu, sayalah musuh anda!

BAHAGIAN KE 2

Salam Kamunting,

1)

Saya menyegerakan penjelasan ini lebih awal daripada niat asal saya untuk menangguhkannya selang beberapa hari lagi. Bagi seorang blogger, adalah sayugia dan menarik untuk memerhatikan tindak balas daripada para pembaca dan masyarakat di luar terhadap apa yang dilontarkannya.

Saya tahu tulisan saya akan masuk akhbar dan menghangatkan dunia blog dan politik. Justeru apabila ia benar - benar terjadi, saya memerlukan sedikit masa untuk melihat, mengukur dan memutuskan sesuatu yang akan lebih mencorakkan apa yang saya inginkan daripada tulisan asal saya. Saya akan gagal jika arus luar menghanyutkan dan memesongkan saya daripada tempat tuju saya.

Saya tidak suka berbicara mengenai arus. Saya tidak beriman dengan arus kerana saya dilarang beriman dengan arus. Kuasa rakyat, Makkal Sakti atau apa nama yang bersifat arus, itu bukan makanan kegemaran saya.

Saya akan berbicara tentang sesuatu yang mencipta arus itu. Saya akan berbicara mengenai angin. Anginlah yang mencipta arus dan gelombang. Saya tidak beriman dengan angin juga. Tetapi saya akan meredah mencari punca angin. Di situ saya menemui apa yang saya inginkan.

Saya menemui Allah. Allah mencipta angin dan Allahlah yang mengarahkan angin mencipta arus dan gelombang. Allahlah tuhan saya. Saya beriman dengan Allah yang satu. Dalam gelombang jenis mana pun, saya mahu tenang. Allahlah sumber ketenangan saya dan seluruh pembaca yang inginkan ketenangan yang benar dan abadi.

Justeru saya tidak akan fana dan luluh dalam gelombang kuasa rakyat atau kemarahan dan ridha rakyat. Rakyat hanyalah mainan pemimpin. Pemimpin adalah angin. Pemimpinlah yang mencetuskan kuasa rakyat dan mengemudi halanya. Dalam kebangunan dan kejatuhan sesebuah negara, pemimpin digunakan Allah untuk menentukan kejayaan dan kehancurannya.

Allah mengarahkan pemuka - pemuka negara melakukan kebaikan dan keadilan. Jika mereka melakukannya, Allah perteguhkan negara tersebut dengan keadilan dan keamanan. Jika pemuka - pemuka itu engkar, malah melakukan kefasiqan dan kezaliman, Allah pasti menghancurkan negara itu sehancurnya. Ia berpindah dari gelap menuju gelap atau lebih gelap lagi.

Saya bercakap mengenai pemimpin. Rakyat perlukan pemimpin yang benar dan jujur. Kemudian dia mesti berani dan amanah. Jika seorang pemimpin mencetuskan arus, maka arus itu biarlah benar, berguna dan dinikmati hasilnya.

Semalam saya dihubungi ayahanda dari Kota suci Makkah. Saya tengah menulis pasal bola sepak dan tahniah saya pada pasukan Kelantan dan Selangor yang telah menyajikan permainan yang bagus dalam perlawanan akhir piala FA.

Saya pastinya tersentak. Saya tahu saja apa isinya perbualan nanti. AlhamduliLlah, ia mengesankan walaupun perbualan hanyalah sekitar dua tiga minit. Saya gembira dihubungi kerana saya dapat menjelaskan beberapa perkara yang saya fikir perlu.

Ayahanda menegur dan meminta saya tulis lagi agar kekeliruan dipadamkan. Jangan tinggalkan kekeruhan bertapak lama. Saya kata ya, saya akan tulis dan segera tulis sebagaimana ayahanda mahu.

Pastinya tulisan kedua ini lebih ringan bebanannya. Saya dapat lampu hijau daripada ayahanda. Sebelumnya, saya hanya memohon lampu hijau daripada Allah. Anda akan lihat bagaimana ketenangan mengalir dalam tulisan saya. Saya lebih yakin.

Selang beberapa jam, belum pun saya mula menulis, saya diberitahu bahawa sekumpulan insan sedang bergembira kerana hal Nik Abduh telah selesai. Ayahandanya telah mengarahnya berhenti buat cerita! Saya tersentak lagi. Wah, ada insan yang begitu teliti pekerjaannya sehingga dia tahu isi perbualan saya dengan ayahanda!

Sekarang anda tahu betapa saya sedang menempuh jalan yang sukar. Anda tahu saya perlukan keberanian yang sudah lama saya pohon daripada Tuhan saya. Betapa saya sering menangis memohon keberanian daripada Allah. Mengapa saya harus mendiam diri, takut dan dilanda kecewa sendirian? Dalam blog ini, saya sering menyeru agar jangan bersedih, berani kerana benar dan pelbagai dorongan ugama, tetapi saya sendiri kelu dan bisu di hadapan kebenaran yang mesti saya sampaikan kepada ayahanda. Saya melukut di hadapan pembohongan dan pemalsuan yang dipaksakan ke atas orang yang saya kasihi.

Sehingga saya tiba - tiba diberikan keberanian itu. Ia melanda - landa datang. Allah memperkenalkan saya jalan dan masanya. Saya kenal diri saya. Saya mampu mengesan, dengan izinNya bahawa sesuatu itu daripada nafsu atau daripada suluhan taufikNya. Ini untuk saya dan diri saya. Justeru saya mulakan dengan nama Allah. Anda pun telah membacanya.

AlhamduliLlah, dalam seketika sahaja saya dihujani tahniah. Ia tidaklah mengujakan saya sehinggalah saya menerima ucapa terima kasih daripada seorang yang saya sayangi. Dia guru saya dan guru ratusan ribu ahli PAS seluruh negara. Saya bertanya adakah saya telah mengganggu dan merosakkan jamaah? Jawabannya tidak. Ia dinikmati oleh mereka yang cintakan keharmonian dan para ulama yang saya maksudkan daripada tulisan saya.

Akhirnya, keberanian turut melanda mereka yang faham tetapi takut dan bersimpati daripada kalangan guru dan sahabat saya. Mereka berjanji untuk turut bersama. Saya bersyukur kerana saya sedang mencetuskan keberanian untuk semua. Kekuatan saya bertambah - tambah dan Allah memberikan saya ketenangan yang saya perlukan saat ini.

Anda bacalah komentar para penjengok blog ini. Ia berbaur antara puji dan keji. Inilah suara rakyat. Inilah suara yang saya mahukan setiap pemimpin bersimpati dan bertanggung jawab ke atas mereka. Mereka memuji dan mencela dalam arus yang diciptakan ke atas mereka. Justeru arus mestilah benar agar mereka tiada tertipu oleh pemimpin.

Sekarang masanya saya menjelaskan..

2)

Saya dengan sengajanya memilih perkataan ‘pembantu - pembantu ayahanda’ dan menjadikannya umum. Saya tembak terus kerana saya mahu semua orang kena. Semua mereka yang merasakan masing - masing adalah pembantu ayahanda. Saya mahu mereka bertanya, adakah aku yang dimaksudkan?

Pastinya mereka yang tidak pernah bercakap dan menyumbang idea kepada ayahanda mengenai isu - isu politik yang saya maksudkan akan merasakan mereka terkeluar. Keluarlah anda. Sesungguhnya Allah membalas pekerjaan anda dengan kebaikan yang melimpah daripadaNya.

Saya kenal kebanyakan pembantu ayahanda. Mereka inilah kaki dan tangan ayahanda yang telah banyak menyumbang dan berkorban. Daripada Abang Lah pemandu ayahanda yang telah berkhidmat sedari saya kecil sehinggalah YB Dato Ahmad Yaacob, Timbalan Menteri Besar Kelantan, ada ratusan pembantu ayahanda samada di pejabat PAS Kelantan, di pejabat SUK dan di luarnya.

Saya hormati mereka dan saya tabik mereka. Kerja dan bantuan mereka mengatasi saya. Saya hanyalah seorang anak yang menjadi pembantu dalam soal - soal kekeluargaan. Ayahanda pernah meminta saya menjadi Setiausaha Akhbarnya. Saya mohon derhaka. Ayahanda pernah bertanya tahun lepas, di kawasan mana saya mahu bertanding? Saya mohon derhaka. Ayahanda pernah meminta saya menjadi Pegawai Peribadi di DUNnya. Saya mohon derhaka. Ayahanda akur kerana dia tahu maksud dan bebanannya ke atas saya.

Saya mahu kekal sebagai pembantu di rumah. Saya meyakini kekuatan para pembantu ayahanda di luar. Saya tidak banyak masuk campur walaupun kadang - kala bonda bersungut mengenai beberapa pembantu yang dilihat gagal berperanan.

Kepada mereka saya doakan kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Adapun maksud saya adalah para pembantu yang membantu dalam isu politik. Mereka ramai, mungkin berpuluh - puluh. Semua mereka adalah benar dan betul. Kerana jasa merekalah ayahanda jadi perkasa dalam dunia politik Islam dan tanah air.

Pekerjaan bodoh hanyalah satu. Dan atas pekerjaan yang satu inilah saya menyerang dengan panas. Apabila anda memuji saya, ia tak pun meredakan kemarahan saya. Apabila anda memaki saya, ia tak pun memarakkan kemarahan saya. Saya kekal panas sehinggalah ayahanda dibebaskan daripada kerja - kerja bohong, bodoh dan jahat ini.

Ayahanda adalah ayah saya. Darah dan dagingnya mengalir di tubuh saya. Jika anda berjutaan memerangi saya, anda tak akan mampu memisahkan di antara darah dan daging kami. Saya mempertahankan ayahanda sebagaimana saya mempertahankan saya.

Saya enggan melihat kepanasan ayahanda disebabkan pembohongan dan pemalsuan. Saya enggan melihat mendung di langit perjuangan Islam. Saya enggan melihat kekecewaan daripada hukuman yang salah dan palsu.

3)

Yang menghubungkan kita dengan langit adalah al Quran dan al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam. Apabila baginda wafat, para ulama adalah pewaris. Ulama mewarisi ilmu, iman dan taqwa. Itulah legasi kenabian. Al Quran adalah punca ilmu yang benar. Ia dijaga kekuasaannya sehingga qiamat. Allah mempersiapkan para ulama dengan ilmu, iman dan taqwa demi kelangsungan perjuangan menegakkan kekuasaan al Quran ke atas manusia.

Ulama adalah cahaya yang menyinari kehidupan. Ketika PAS kesakitan, Allah mencetuskan idea kepimpinan ulama. Ia memberkati kebangkitan PAS. Allah bekalkan kita dengan para ulama yang menerajui dan menyatukan kekuatan.

Jika anda ingin berubah, berubahlah dalam kesatuan yang telah dibina para ulama. Jika anda ingin pembaharuan, bergeraklah bersama mereka.

Jangan tukarkan makanan dari langit dengan bawang putih dan bawang merah semata - mata anda sudah jemu dengan makanan syurga. Jangan tiru Bani Israel!

Ulama menyatukan kita sedang sesetengah anda memecahkan di antara ulama. Inilah kerja bodoh! Pemberi komen bernama MuhaiminSulam kata, tukarkan bodoh kepada jahat!

Saya memaksudkan mereka ini dan saya memaksudkan kerja seperti ini. Saya tidak memaksudkan kerja mereka yang lain walaupun ada lagi yang lain.

Saya menulis kerana ia sedang mengancam kesatuan dan ketenangan. Bukan saya, bahkan semua merasa tidak tenteram. Saya menyerang dipuncanya agar anda tahu puncanya. Apabila anda menguasai puncanya anda akan kembali dengan ketenangan dan kekuatan.

4)

Saya nukilkan perbualan saya dan ayahanda pasal idea Unity Government dan Pakatan Rakyat. Saya kemukakan titik persamaan dan perbezaan. Jawaban ayahanda adalah di sebalik yang anda perolehi di luar. Saya kata ayahanda menerima hujah keharusan itu.

Saya tak kata ayahanda dah setuju dibentuk kerajaan bersama BN. Saya tak tanya pun adakah dia setuju atau tidak. Itu tidak penting. Ia tidak mengganggu apa yang saya mahukan daripada jawabannya itu.

Anda dan surat khabar hanya mentafsirnya. Jika anda mahu tafsiran terbaik, tanya dia sendiri. Saya tidak memerlukan jawaban itu.

Ingat, saya bukan mendodoi Unity Government di sini. Nak berhujah, cari di tempat lain. Saya hanya mahu anda faham mengapa wujud percanggahan di antara sebelum dan selepas pertemuan itu? Mengapa sejuk sesudah panas? Saya memberitahu anda sebabnya. Sebabnya adalah pekerjaan bodoh itu.

Kerja bodoh bukan menolak Unity Government. Kerja bodoh ialah memahamkan maksudnya dengan maksud yang tak benar dengan tujuan yang tak benar di sisi ugama.

Jika anda mahu lawan, cukup anda buktikan bahawa saya telah berbohong tentang kewujudan kerja bodoh itu. Jika anda sangsi, usah percaya dan usah bohongi. Saya menulis kepada pembaca di blog saya yang yakin bahawa saya tidak berbohong. Kepada mereka saya mahu memberikan rasa tenang dan yakin.

Saya juga menulis untuk disampaikan kepada pembantu - pembantu itu agar bertaubat. Kerja kamu itu sia - sia di sisi tuhan walau kamu digilai manusia dan haiwan pun.

Kemudian saya tambahkan perencah. Wujud mereka ( pembantu ) yang berang sesudah ayahanda tersenyum lebar di JKR 10 selepas pertemuan di antara anggota Majlis Syura. Mereka gagal memisahkan di antara ulama.

Jika anda mahu lawan, cukup anda buktikan saya bohong. Tidak wujud keberangan itu. Jika tidak, anda melibas pedang di angin, lalu mendakwa tubuh saya telah putus seribu.

Saya perhatikan seni hujahan anda. Tumpul dan rapuh. Saya jentik, terbang bagai abu di hujung rokok. Sila datang kepada saya di luar, mari bersabung. Saya tunjukkan anda seni berhujah yang digemari agama dan malaikat.

5)

Saya berpegang sebagai mana ahli PAS berpegang. Pakatan Rakyat adalah sebaik - sebaik temuan dan alternatif hari ini. Tulisan saya sebelum ini menyokong DSAI sebagai peneraju jika ianya disepakati. Hujah agama membenarkan. Tulisan saya sebelum ini menolak pakatan dengan BN, apatah masuk BN. Sehingga BN bersetuju untuk berubah, hukum agama mengambil tempat.

Saya menyeru kepada pembukaan. Jangan tutup apa yang Allah mahu ianya terbuka. Anda akan bernafas lebih lega dan harmoni. Anda akan lebih gagah melangkah.

Ini siasah syar’ieyah. Dua tuan guru ini adalah pakar ilmu ini. Apabila mereka bertelagah saya tak rimas pun. Saya tahu mereka akan bertemu dan bersetuju. Saya diberitahu TGHH dinasihat untuk tidak berjumpa ayahanda ketika panasnya, tetapi beliau enggan. Beliau tahu ayahanda akan reda. Reda dan ridha dengan temuan ilmu dan hujah. Itulah yang berlaku.

Tetapi, kerja - kerja bodoh mengambil tempat. Mereka inilah batu api. Batu api inilah satu kerja dosa besar yang merosakkan jamaah dan ummah. Atas kerja bodoh inilah saya doakan Allah membalas mereka di dunia agar mereka kembali sedar dan bertaubah.

Itu hikmah Allah membalas di dunia. Anda alim, ingat ayat itu. Anda jahil, tanya orang alim. Jangan meracau tak tentu pasal marahkan saya menamakan sesetengah manusia sebagai ulama ‘mi celup’. Apa tak adakah di dunia ini orang jahil yang mengaku alim?

Macam peniaga makanan kesihatan dalam MLM. Habis kursus sebulan pasal produk, mereka keluar bersyarah macam seorang doktor. Anda marahkah jika saya namakan mereka doktor ‘mi celup’?

Saya belajar ugama. Maka saya tahu saya bukan taraf ulama. Saya tahulah siapa ulama yang benar dan palsu. Saya ada neracanya mengenal kaca dan permata. Kerana itu saya mempertahankan ulama yang saya kenali dan akui ilmu, iman dan taqwa mereka.

Mereka di hadapan anda. Menyayangi ulama adalah iman. Memusuhi ulama adalah perang terhadap Allah. Ingat al hadis itu. Justeru jangan mencetuskan kebencian dan kerenggangan di antara awam dan ulama, apatah memecahkan saf para ulama.

Jangan lupa blog saya. Doakan saya terus mampu menulis demi perjuangan meruntuhkan kekuasaan BN durjana.

PAS Tulen said...

Salam...
Kekalutan dlm PAS sekrg disebabkan wujudnya puak-puak yang mengamalkan sikap jemaah dlm jemaah.Semua orang tahu bahawa ada golongan tertentu masuk PAS dan membawa agenda puak mereka.Nak tau sapa..itulah puak-puak JIMMMMMMMMMMMMMM dan ABIMMMMMMM serta IRCCCCCCCCCC...
Kita perlu pertahankan PAS tulen yg telah bersama-sama susah dan payah dalam mempertahankan perjuangan Islam.

Anonymous said...

Orang PAS yang asal dah tak ada dalam PAS sekarang. Yang ada dari IRC, JIM, ABIM,Ex-Umno dan lupa daratan

Anonymous said...

Saifuddin;
Di Kelantan TGNA ajar kita kena berjuang untuk Islam. Pas hanyalah wadah sahaja. Sapa-sapa nak kepada Islam boleh bersama kita. Tapi PAS Tulen telah diserongkan kepada kita berjuang kepada PAS sahaja. Yang JIM, ABIM, IRC tak boleh join sebab PAS hanya untuk orang PAS sahaja.

Lot 250 said...

TGNA melantik YB Patah Mahmood (Ketua JIM Kelantan) sebagai exco kerajaan.

Tak yah cakap banyak. Buka buku Fiqh Ikhtilaf (Karangan Dr Yusof Qardhawi), terjemahan lah. disitu saudara akan jumpa jawapannya.

Pas Tulen said...

Lot 250, itulah masalahnya bila orang-orang JIM dilantik ke jawatan-jawatan penting.Mula rasa agah bahawa orang-orang JIM berkualiti dan hebat-hebat belaka.Orang PAS tulen lemah pentadbiran dan tak boleh bekerja dengan baik.Mula naik kepala dan rasa mereka jadi kingmaker dalam PAS.tadak puak JIM maka PAS lemah dan jadi PAS lama.tak kreatif, lembap dan lebih penting lagi tadok lonjakan dalam perjuangan islam.

Ini perlu difahami oleh kita semua sebab dah wujud jemaah dalam jemaah sekarang.Bukannya isu orang-orang lain tidak islam dan penting dlm perjuangan islam PAS tapi masalahnya puak-puak ini tidak menghayati prinsip,asas dan manhaj perjuangan PAS.Sekali lagi saya katakan mereka wujudkan jemaah dalam jemaah.wujudkan usrah di kalangan mereka dgn silibus usrah mereka sendiri.dalam hal ini PAS harus mantapkan sistem tarbiyah supaya pastikan semua ahli PAS terutama puak-puak JIM mengikuti usrah dan sistem tarbiyah PAS.

paling ditakuti ada "cakap-cakap" ahli PAS di kalangan JIM dan ABIM yang lebih mendengar kata Anwar dr Presiden PAS sendiri.Jika benar adalah amat malang kepada PAS.Tiada ketaatan dan wala' kpd pimpinan merupakan satu kesalahan besar dan ilmu gerakan islam dan bakal menjahanamkan PAS.

Harap Lot 250 dapat faham isu ini.Bukan anti JIM dan ABIM,tapi JIM dan ABIM yang masuk PAs harus menghayati manhaj perjuangan PAS.Bak kata pepatah masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu menguak.Tapi kalau masuk nak bawa fikrah perjuangan mereka harap mereka sedar bahwa kami pejuang PAS tulen takkan mendiamkan diri dan "berjihad" habis-habisan.

Lantik YB fattah menunjukkkan pemuda pas lemah,tak ada pimpinan pemuda pas ke yang layak?

Lot 250 said...

Yang pasti hujah nafsu atau hujah apa yang anta/i gunakan.

Yang penting pelantikan dibuat atas kelayakan.

kerana itu Allahyarham Ust Fadzil Noor melantik Dr Zulkifli (orang kuat JIM) sebagai Ketua Pusat Penyelidikan PAS, kerana apa? kerana beliau layak.

TGHH juga melantik Dr Hatta (x-JIM) sebagai bendahari, kerana apa? mungkin kerana TGHH tak menggunakan hujah nafsu sebagaimana yang anta/i gunakan...

waLlahu a'alam

Anonymous said...

Gumullah Ustaz fadhil ingat. lantik depa ni akan berubah fikrah dari JIM kepada PAS.

Tetapi depa ni sebenarnya menyebar luaskan pengaruh JIM dalam PAS.

Ni PAS tengah lemas ni.

Lot 250 said...

itu hanya, sangkaan anta/i sahaja.