Wednesday, September 17, 2008

4 Cadangan Untuk Menyelamatkan UMNO?

Jika aku Presiden UMNO, aku akan lakukan 4 perkara ini…. :

1. I.S.A.kan DSAI dengan apa jua alasan!
    1. Ini mungkin akan membantu melemahkan Pakatan Rakyat. Tanpa DSAI, kerjasama pakatan rakyat mungkin akan menjadi tidak terurus….?
    2. Akan memberi kegerunan kepada MP-MP yang berhajat melompat/berhijrah kepada Pakatan Rakyat…..?
2. I.S.A.kan 10 YB ini….
    1. YB Saifuddin Nasution
    2. YB Azmin Ali
    3. YB Gobalakrishnan
    4. YB Dato’ Seri TG Hj Hadi Awang
    5. YB Dato’ Husam Musa
    6. YB Hj Mohamad Sabu
    7. YB DR Hatta Ramli
    8. YB Solahuddin
    9. YB Lim Kit Siang
    10. YB Tian Chua
* Sebaik-baiknya, jangan banyakkan tangkapan dikalangan pemimpin masyarakat Cina, kerana keberanian masyarakat ini sekarang diluar jangkaan….?
* Mungkin ini boleh memberi pimpinan UMNO tumpukan permasalahan dalam parti ?
* Mungkin Pakatan Rakyat akan lebur…..?

3. Pak Lah mesti berundur sekarang (bukan hanya tukar kementerian)…!
    1. Ini mungkin akan meneutralkan balik sokongan dan keutuhan UMNO yang nampak sekarang menjadi haru biru…..?
    2. Kerana kegagalannya mengekang DSAI. Jika sekarang Mahathir yang menjadi PM, aku rasa tindak tanduk DSAI tidak sebebas sekarang dan aku rasa Najib ni akan bertindak hampir sama dengan Mahathir, malah mungkin lebih dahsyat lagi….?



4. Timbulkan suasana yang tidak tenteram dalam masyarakat. Dengan kekalutan yang timbul, mudah untuk kerajaan mengambil tindakan yang nampak akan menjadi ‘halal’… Emmm Darurat? Mungkin ide yang bagus…..



Tapi kerana aku ini orang PAS dan menyokong keutuhan Pakatan Rakyat. Aku rasa semakin zalimnya UMNO, ia semakin menghampiri saat-saat keruntuhan…… Mungkin telah menjadi sunnah …?

Tuesday, September 16, 2008

Meniti Hari Perubahan.....

"Langkah PAS semakin diperhatikan. Posisinya dalam Pakatan bertambah penting. Silap perhitungan, deraan sejarah selalunya keras.

Kebijaksanaan mengatur gerak amat dituntut, selain melihat harapan menggunung rakyat yang mahu mencipta sejarah kedua selepas tsunami 8 Mac" - Lutfi Othman

Sunday, September 14, 2008

YAB Tuan Guru Mursyidul Am Beri Amaran Kepada Dato' Mustafa Ali


1. Saya telah membaca dengan teliti pandangan Pesuruhjaya PAS Terengganu yang kali ini lebih gemar menggunakan nama beliau sebagai pengamal dan penganalisis politik daripada bertindak sebagai seorang Pesuruhjaya PAS Negeri. Walaupun sewaktu beliau berdiri sebagai penganalisis politik dalam mana-mana waktu sekalipun, pada saya, beliau tetaplah Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu. Baik dalam keadaan berdiri, duduk, atau berbaring, Mustafa bin Ali adalah seorang Pesuruhjaya PAS.

2. Dengan demikian, mahu tidak mahu pandangan beliau itu tetap mencerminkan pandangan PAS Terengganu. Lebih mendukacitakan lagi ialah apabila pandangan beliau ini bersifat anti keputusan Muktamar. Sekaligus, ia menentang arus Syura yang memutuskan untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat dan tidak sebaliknya seperti yang sedang dilakukan oleh Mustafa Ali. Dalam respons dan setiap ayat yang digunakan, saya tidak nampak sikap Mustafa yang boleh mengukuhkan Pakatan Rakyat seperti yang diputuskanoleh Muktamar secara “standing ovation”.


3. Sepatutnya tugas pemimpin termasuk Pesuruhjaya ialah mendukung dan mengukuhkan keputusan Muktamar. Sifat rajin mengeluarkan kenyataan walaupun tidak disuruh adalah sesuatu yang aneh dan menghairankan. Lebih-lebih lagilah ia mencanggahi keputusan Muktamar. Sepatutnya ceramah atau temuramah bersifat lanjutan kepada keputusan Muktamar.

4. Saya membuat perbandingan antara kenyataan Mustafa di muka surat 1 dan 3 Utusan Malaysia, 11 September 2008 dengan kenyataan Dato’ Johari Baharom, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sendiri termasuk kenyataan PM sendiri dalam Berita Harian pada hari yang sama. Mesejnya sama iaitu tidak ada apa yang akan berlaku pada 16 September 2008 iaitu “tidak mungkin ada undi tidak percaya kerana Parlimen tidak bersidang.” Sentimen Mustafa yang “terus terang tidak yakin adanya bilangan sebanyak 30 orang yang akan melompat parti” betul-betul serupa dengan nada Presiden Umno. Betul-betul serupa.

5. Lidah Mustafa boleh dikatakan sudah menjadi lidah Umno. Kita kena faham bahawa lidah ini adalah jurubahasa kepada hati. Jika begitu keadaannya apa yang ada dalam hati, maka lebih baik terang-terang sokong Umno. Hujah untuk “meredakan keresahan rakyat” yang digunakan oleh Mustafa tidak tepat. Apa yang tepat ialah kita kena tanya rakyat resah kerana apa? Jawabnya, rakyat resah kerana pimpinan di bawah Umno selama ini telah menimbulkan seribu satu macam keresahan. Usaha Pakatan Rakyat yang sama-sama sedang didukung oleh PAS, PKR dan DAP ini adalah usaha untuk memulihkan keresahan rakyat. Pemulihan dan keyakinan akan berlaku apabila Pakatan Rakyat menguasai di peringkat Pusat. “Cross over” kepada Pakatan Rakyat yang menuju ke arah peralihan kuasa sama ada 16, 17, 18, 19 atau 20 September 2008 hendaklah menjadi agenda setiap orang : agenda setiap Pesuruhjaya PAS Negeri termasuklah Mustafa bin Ali. Inilah semangat Muktamar yang telah kita sama-sama putuskan secara sebulat suara. “Standing ovation” itu adalah sebulat suaralah tu. Keputusan Muktamar ini, bukan kerja main-main.

6. Apa tujuan kita adakan kursus, seminar, ceramah, tamrin, usrah, doa, sembahyang hajat, munajat, pagi, petang, siang dan malam kalau tidak kerana untuk menumbangkan sebuah pemerintahan yang tidak cenderung kepada Islam. Jika Umno hendakkan Islam, sudah lama dia laksanakan Islam.

7. Saya tidak fahamlah bila Mustafa menyebut bahawa dia bercakap secara bebas dan pendirian beliau bertaraf peribadi; bukan atas kapasiti seorang pemimpin PAS. Pada saya, beliau adalah Pesuruhjaya PAS Terengganu. Dalam Islam, seseorang itu hanya boleh mempunyai satu sahsiah saja. Sesiapa yang cuba bermain-main dengan dua atau lebih rupa sahsiah, tidak layak menjadi pemimpin gerakan Islam. Sebab itu, Islam selalu menekankan soal tauhid, yakni penyatuan segala perkara di atas satu dan menuju kepada satu. Dalam PAS, tidak ada dua wajah sahsiah. Jika ada juga, maka ia sesuai untuk mewakili Umno.

8. Jika Dr. Mahathir pernah berkata bahawa ia tersalah pilih Perdana Menteri maka dalam konteks ini boleh jadilah Terengganu sudah tersalah pilih seorang Pesuruhjaya. Dalam akhir ayat Mustafa Ali, ada juga saya terbaca beliau menyifatkan isu ini timbul disebabkan keghairahan satu pihak untuk mengambil alih kerajaan. Di sini, saya cukup tidak fahamlah. Seolah-olah pada Mustafa, adalah satu kesalahan apabila kita ghairah nak gantikan kerajaan secara demokrasi. Sejak bila pula Mustafa jadi begini? Kita kena faham bahawa isu menghuruharakan ini timbul kerana sejak 50 tahun Umno memimpin negara, rakyat tidak dipimpin dengan jelas dan betul dari segi Islam atau demokrasi. Keadilan tidak diberi kepada orang-orang Melayu, Cina, India, Siam atau Kadazan. Ini yang kita ghairah untuk menggantikan kerajaan. Kita bawa Islam kerana Islam itu adil. Islam itu untuk keamanan dan kesejahteraan seluruh kaum yang bermastautin di Malaysia. Apabila nampak bahawa Kerajaan BN/Umno sudah panik dan resah sehingga terpaksa melarikan 50 Wakil Rakyat, maka pada saya, ini adalah petanda kejayaan. Tak tahu lah pula saya kenapa Mustafa Ali terpaksa bersusah payah untuk menjelaskan situasi sebenar demi meredakan. Meredakan hati siapa? Hati pemimpin Umno?

9. Dalam keadaan beginilah hati saya cepat-cepat teringat tentang HARAKAH. Saya tak dapat bayangkan bagaimana HARAKAH boleh memainkan peranan sebagai lidah rasmi parti dan organ parti, apabila orang nombor satu yang merupakan Pesuruhjaya PAS Terengganu ini telah mengambil sikap membelakangi keputusan Muktamar. Saya percaya, ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi pojok, cerita, berita dan analisis yang dibuat. Dengan dibenarkan penerbitan dua kali seminggu maka lebih cepat lagilah ia boleh merosakkan imej HARAKAH. Pada logiknya, pembaca HARAKAH akan berkurangan. Saya fikir suatu keputusan perlu dibuat mengenai perkara ini.

10. Saya sebenarnya masih mahu mengambil sikap bertangguh dari terlalu cepat mengemukakan respons. Dengan begitu, saya akan cuba ikuti lagi apa rentak yang akan dibawa oleh pemimpin seperti Mustafa Ali. Saya percaya, mungkin ada satu atau dua orang lagi yang bersama dengan beliau. Selaku orang tua dalam parti, saya telah mengikuti orang penting dan orang yang tidak penting keluar masuk ke dalam parti. Bahkan Allahyarham Dato’ Haji Asri Muda sekalipun pernah meninggalkan Parti PAS. Pada waktu itu beliau adalah di kerusi Presiden. Beliau akhirnya masuk Umno dan semua orang tahu bagaimana beliau mengakhiri karier politiknya.


NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Bertarikh : 11 Ramadhan 1429
11 September 2008.

Friday, September 12, 2008

I.S.A Kembali!

12 September 2008 - ISA Kembali......



3 orang telah ditahan dengan I.S.A hari ini (12 September 2008) iaitu Raja Petra Kamaruddin,
Tan Hoon Cheng (Wartawan Sin Chew Daily) & YB Teresa Kok telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hari ini.


Bagi aku, apa jua kesalahan yang dilakukan oleh ketiga-tiga mereka (setakat ini) ini, wajib dibicarakan di Mahkamah. Menahan tanpa bicara, adalah satu kezaliman. Apa jua kesalahan yang dilakukan oleh mereka, bukan tiket untuk menahan secara membuta tuli!



Pak Lah boleh bagi apa jua alasan, tetapi 'Imam Besar Hadhari' mesti akui ISA adalah akta yang paling kejam yang masih bermaharajalela di Malaysia. Bagi aku, yang menganut AGAMA ISLAM, aku WAJIB MENENTANG AKTA I.S.A ini. Ia ZALIM....! ZALIM...! ZALIM...!

Tulisan dari saifulislam.com mungkin boleh menyedarkan kepada kita betapa zalimnya ISA ini.


Antara Kamunting dan Guantanamo Bay

Terdiam seketika.

Sejarah memutarkan skripnya dengan lakonan kaum-kaum yang bersilih ganti. Tetapi dek kerana segalanya datang dari akal, hati dan nafsu makhluk yang sama bernama manusia, perbezaan zaman tidak membezakan kelakuan.

Hati saya terasa pedih semasa mengulas kisah Yusuf ‘alayhi al-Salam, tatkala tiba ke tafsiran ayat ke-35.

Kemudian timbullah fikiran bagi suami perempuan itu, serta orang-orangnya hendak memenjarakan Yusuf sesudah mereka nampak tanda-tanda (yang menghendaki supaya Yusuf dijauhkan) hingga ke suatu masa. [Yusuf 12: 35]

Biar pun telah nyata segala pembuktian, bahawa segala kejadian berpunca dari isteri al-’Aziz dan wanita bangsawan yang bersama, Yusuf jua yang akhirnya dihumban ke penjara. Bahkan Yusuf lebih merelakan dirinya untuk dipenjara bersama kesucian prinsip berbanding hidup bebas tetapi memikul kekotoran nafsu wanita-wanita kelas tinggi itu.

Segalanya ditunjukkan Allah… suami yang menjadi Menteri Utama, bacul dan dayus hingga tiada upaya mengawal kelakuan isteri. Nafsunya pula disokong oleh ‘datin-datin’ yang ber’makar’ untuk menundukkan Yusuf kepada kehendak mereka… segalanya adalah skrip yang sama. Kejelekan golongan bangsawan di sepanjang zaman, hingga akhirnya Yusuf dan figura seperti baginda itu jua yang menelan padah.

Bukanlah penjara itu kemuncak segala derita. Sakitnya hukuman itu ialah pada dua realiti yang ada:

  1. Yusuf tidak bersalah
  2. Pemenjaraannya tanpa had masa.

Dipenjara tanpa kesalahan adalah suatu kezaliman. Ia jadi lebih zalim apabila tiada perbicaraan sempurna yang dijalankan. Pensabitan hanya atas budi bicara manusia pemegang cemeti lagak al-’Aziz dalam kisah Yusuf. Dan segala kezaliman itu disempurnakan dengan hukuman tanpa had masa.

Tatkala Allah SWT mengungkapkan di dalam ayat itu, bahawa hukuman tahanan ke atas Yusuf adalah ‘hingga ke suatu masa’, saya tidak dapat lari dari tersungkur di hadapan segala keperitan yang ditanggung oleh tahanan ISA di negara kita. Yusuf dan mereka yang terkurung atas nama ISA, bukan dipenjara tetapi mereka ditahan. Ia bukan hukuman, tetapi suatu bentuk penyeksaan.

Masakan tidak?

Ditahan tanpa bicara.

Ditahan tanpa had masa.

Biar pun pemenjaraan berlangsung dengan ketetapan 30 tahun, sekurang-kurangnya 30 tahun itu boleh dihitung. Setiap satu hari berlalu, memendekkan tempoh 30 tahun yang telah ditentu. Tetapi tatkala penahanan berlaku tanpa had masa, ia membunuh segala harapan.

Tanpa harapan tiada kekuatan.

Tanpa kekuatan, manusia mati sebelum mati.

Perasaan saya yang sungguh berkecamuk tatkala menelaah Surah Yusuf ditimpa lagi oleh rasa sedih, marah, panas dan membara tatkala menatap pemergian al-marhumah Aina Mardiah Shahrial yang kembali ke Rahmatullah semalam (3 Julai 2008). Anak gadis ini koma di Hospital Kajang selepas terjatuh di rumahnya.

Sungguh memilukan, Aina Mardiah sudah sejak sekian lama tidak menatap wajah ayahnya, Shahrial Sirin yang ditahan di Kem Kamunting sejak 7 tahun lalu! Beliau kembali kepada Allah dalam kerinduan. Membesar tanpa ayah, yang ditahan, bukan dipenjarakan.

Usaha Pusat Sokongan Keluarga Gerakan Mansuhkan ISA (ISA) untuk mendapatkan pelepasan Shahrial Sirin berdepan dengan birokrasi Napoleonik yang sungguh luar biasa. Shahrial akhirnya tiba di rumah pada jam 9 malam dan hanya dibenarkan oleh pihak polis bersama jenazah anaknya serta ahli keluarga yang lain selama satu jam!

Sesungguhnya setiap titis air mata yang mengiringi pemergian adik Aina Mardiah Shahrial, adalah minyak yang menyalakan kemurkaan Allah ‘Azza wa Jalla terhadap kezaliman yang sudah menjadi pakaian al-’Aziz dan regimnya

Demi Allah, saya tidak dapat melihat di manakah bezanya antara regim yang mempertahankan kem Guantanamo Bay dan kem ISA Kamunting di negara kita. Jika al-’Aziz dan empayar Mesir serta sekalian yang mengikut jejak kezaliman mereka tumbang di dalam sejarah, mengapa harus kezaliman hari ini, rasa aman dan terkecuali dari hukuman-Nya?

Saya tidak berpendapat bahawa kezaliman ini terbit dari apa-apa ideologi yang menjadi pegangan kuasa yang memerintah. Sama ada kezaliman itu datang dari kelakuan seorang yang ‘muslim’ atau pun ‘kristian’, hakikatnya ia hanyalah kehendak hawa nafsu manusia durjana yang sanggup melakukan apa sahaja demi survival dan kelangsungan kuasa mereka.

Dari Abi Dzar al-Ghifari –semoga Allah meredhainya- dari Nabi saw., menyampaikan apa yang diterimanya dari Rabbnya, bersabda, “Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman ke atas diri-Ku dan Aku menjadikannya haram di antara kalian, maka janganlah kalian saling menzalimi.” (H.R. Muslim)

Semoga kematian yang menimpa adik Aina Mardiah menjadi kerehatan buat diri al-marhumah daripada kepenatan dunianya yang penuh kesedihan dan penindasan itu.




* Aku menunggu komen Cikgu Pa mengenai ISA ini...