Friday, May 30, 2008

Sekat Anwar & Hancurkan Mahathir

Sehari dua ini, tumpuan media dan orang ramai tertumpu kepada tragedi kembalinya Ezam kepada UMNO. Riuh rendah dibuatnya tak kira dalam atau luar UMNO. Kadang-kadang terasa geram & rimas juga.

Tetapi setelah membaca tulisan Mohd Rashidi Hassan dalam Harakahdaily yang bertajuk “Ezam Ibarat Ayam Jantan Yang Gah Berkokok Tetapi Ekornya Dipenuhi Najis” banyak menyedarkan siapa sebenarnya Ezam Mohd Noor. Hubungan sulit beliau dengan Khairy kian ada benarnya. Tahniah buat sdr. Lutfi Othman atas sikap hati-hatinya terhadap Ezam!

Walaubagaimanapun semalam, berita Ezam masih menjadi dan mendapat perhatian ramai. Ramai rakan seperjuangannya mengikut jejak beliau. Mengapa & kenapa beliau memasuki UMNO, sudah dijelaskan. Samada karut atau tidak alasannya, saya malas untuk mengulasnya.

Yang pasti, dalam sidang akhbar Ezam semalam, fokus utama yang digambarkan ialah ketidakpercayaan beliau kepada Anwar. Tetapi saya tidak ingin mengulas perkara tersebut. Yang saya seronok ialah apabila beliau melahirkan kesediaan untuk bertanding Ketua Pemuda UMNO (walaupun dinafikannya hari ini). Ia seperti menepati andaian awal nawaitu sebenarnya mengapa beliau kembali kepada UMNO, iaitu SEKAT ANWAR & HANCURKAN MAHATHIR.

Mukhriz seperti menggelabah & memahami situasi ini. Najib walaupun kelihatan ceria, tetapi dengan sikap penegasan Muhyiddin supaya keahlian Ezam dibincangkan dalam MT UMNO menggambarkan keadaannya. Hubungan Najib-Muhyiddin tidak dapat dinafikan lagi. Isu perkataan ’peralihan kuasa’ yang dilafazkan oleh Muhyiddin membenarkan telahan orang ramai mengenai ’hubungan cinta’ beliau dengan Najib.


Road Show

Ezam melahirkan keazamannya untuk melakukan Road Show keseluruh negara bagi menerangkan mengapa beliau kembali kepada UMNO. Semalam saya sempat makan malam di Restoran Tarbush dan meminta reaksi YB Ustaz Baihaki (Ketua Penerangan PAS Kelantan) mengenai perkara ini. Jawapannya selamba... road show Mahathir (mengapa beliau keluar UMNO) mungkin akan lebih mendapat perhatian rakyat daripada road show Ezam (mengapa beliau masuk UMNO)….

(YB Baihaki & Anaknya Atiqullah )

Yang pentingnya, setakat ini tidak boleh dinafikan UMNO telah berjaya mengalihkan pandangan rakyat daripada membicarakan kekalutan yang menimpa UMNO. Pandangan sekarang teralih dengan melakukan serangan kepada Anwar & PKR.

‘Line-Up’ Baru Politik

Mungkin Anwar turut menyedari situasi ini. Nak tak nak Anwar mesti membina ’line-up’ baru politik untuk memastikan gerombolan ombak untuk menggantikan kerajaan pusat tidak tergendala.

Anwar sewaktu diwawancara Bloomberg Television semalam berkata ”Jika saya sudah benar-benar pasti tentang kelayakan saya(bertanding dalam pilihanraya), saya akan memilih untuk berbuat demikian seberapa segera”. Ia seperti menggambarkan Anwar cukup memahami situasi politik sekarang dan tidak mahu jalannya ke Putrajaya dipintas.

InsyaAllah kesegeraan Anwar bertanding, memungkinkan perubahan kerajaan pusat tidak akan dapat dihalang lagi. Gerombolan ombak yang kelihatan terhenti ekoran mainan media mengenai Ezam, mungkin dapat diatasi dengan reaksi Anwar ini.

Yang keduanya, PAS pasti menarik lafas lega dengan reaksi tersebut. Masalah cadangan pelantikan Wan Azizah sebagai PM seperti mengundang pelbagai reaksi berbeza didalam PAS. Walaupun pelantikan wanita sebagai PM mempunyai pandangan yang berbeza dikalangan ulama’ tetapi kebanyakkan ahli PAS masih sukar menerima ‘keadaan’ ini.


Kukuhkan Pakatan

Semakin hari, semakin menarik. Keutuhan kerajaan Pakatan Rakyat di 5 buah negeri seperti tidak dapat digoncang lagi. Yang menanti sekarang, adakah langkah ke Putrajaya akan menjadi semakin dekat atau semakin jauh.

Sekarang bukan masa lagi untuk mencurigai diantara parti dalam Pakatan Rakyat, yang penting sekarang persepakatan Pakatan Rakyat di saat-saat UMNO meniti penghujung hayat mesti perkukuhkan.

Wednesday, May 28, 2008

Kehancuran UMNO Makin Tiba

Ternyata telahan ramai semenjak keluarnya Ezam dari PKR sebelum PRU 12 yang menjangkakan beliau akan kembali kepada UMNO benar.

Ramai kawan-kawan saya terkedu sedikit. Ada yang melemparkan kata-kata geram bagi melegakan hati yang terbuku.

Tapi bagi saya, ia adalah satu situasi yang menarik. Kemasukkan Ezam mungkin dirancang untuk mengimbangi kekalutan dalam UMNO untuk pulih dari ’demam’ yang dilihat semakin hari semakin teruk.

Tetapi saya yakin, kemasukkan Ezam didalam UMNO dirancang oleh satu ’team’ daripada pelbagai ’team’ yang ada dalam UMNO. Hubungan yang agak menarik diantara Khairy – Ezam bukan lagi menjadi rahsia. Telahan yang dilemparkan seakan-akan benar.

Dan jika benar ia dirancang oleh orang yang berkuasa di ’Tingkat 4’, itu yang katakan ia adalah menarik. Saya yakin, Najib tidak selesa dengan situasi ini. Pak Lah bijak menggunakan Ezam untuk menyedut serangan yang dilemparkan Mahathir. Dan ini sebab yang utama Ezam dipanggil masuk dalam UMNO untuk ketika ini. Dendam kesumat beliau terhadap Mahathir, sukar dilenyapkan. Terperuk dalam penjara, dan acap kali mengucapkan ’tikus’ sebagai kawannya.

AlhamduliLlah.... , aku sungguh selesa melihat keadaan ini. Dan aku menunggu pukulan yang akan dilakukan oleh Ezam terhadap Mahathir dan kuncu-kuncunya nanti. Wawancara dalam TV3 sebentar tadi memberi bayangan yang cukup jelas untuk memulakan peperangan terhadap Mahathir.


Najib.... kukuhnya Pak Lah, maka hancurlah harapannya untuk menjawat jawatan yang diidam-idamkan oleh beliau dan isterinya.... Mukhriz juga tidak terlepas dengan ancaman ini.... dan ini yang sebenarnya dikehendaki oleh Khairy....

Hah, bagi aku seorang, kemasukkan Ezam bukan untuk menguatkan lagi UMNO, tetapi ia akan mempercepatkan lagi kejatuhan yang pastinya ditunggu-tunggu oleh Pakatan Rakyat. InsyaAllah.


*** Kemasukkan Ezam untuk mengimbangi pengaruh Pakatan Rakyat & menghentam DSAI, mungkin telah diulas oleh bloggers lain.

Tuesday, May 20, 2008

Serangan ‘berani mati’ Tun Mahathir

Semalam, Malaysia seperti digegarkan seperti gempa bumi.... Entah macammana, Tun Mahathir seakan-akan melancarkan serangan ’berani mati’ terhadap musuh-musuhnya.... beberapa telahan yang dapat dibuat ialah :

1. Ingin mengubah situasi politik yang berlaku ketika ini ( apabila 'ura-ura' pertukaran kerajaaan pusat pada akhir Mei ini).

2. Jalan terakhir untuk menyekat Anwar Ibrahim menaiki takhta Perdana Menteri dengan cara menjatuhkan Pak Lah dan menaikkan orang lain. Samada Tengku Razaleigh @ Najib, ia dipercayai boleh merencatkan usaha Anwar untuk merampas kerajaan pusat....


3. Mungkin kerana tertekan dengan isu klip VK Lingam (dipercayai perancangan Pak Lah untuk menjahanamkan karier politik Mahathir)

4. Mungkin Mahathir mendapat hidayah..... ......

Atau mungkin ada beberapa perkara lagi yang menyebabkan Tun Mahathir bertindak sedemikian......

Yang pasti disituasi sebegini, keutuhan Pakatan Rakyat mesti diperkukuhkan, sebagaimana kukuhnya persepakatan untuk menghadapi PRU 12. Malah sepatutnya keutuhan persepakatan Pakatan Rakyat menjadi lebih kuat setelah dilihat UMNO sekarang sekarang seperti belum sembuh dari penderitaan yang dialami dalam PRU 12 baru-baru ini.

Cakap-cakap atau sangkaan buruk yang tidak sepatut dikeluarkan oleh penyokong-penyokong sesama parti yang menganggotia Pakatan Rakyat perlu dielakkan. Yang penting penguasaan UMNO terhadap kerajaan perlu dirobohkan. Hancurnya UMNO, bukan bermakna hancurnya Melayu, malah saya menyakini, hancurnya UMNO akan mengakibatkan ’orang Melayu dalam UMNO’ akan mencari-cari satu formula untuk mengukuhkan orang Melayu, iaitu ISLAM.... Kuatnya ISLAM akan kuatlah Melayu. Kuatnya Melayu tidak semestinya kuatnya ISLAM....


Fikir-fikirkan.....



*** Jangan lupa Manchester United vs Chelsea malam esok....

Saturday, May 3, 2008

Mahathir ’Melacurkan’ Ku Li Untuk Najib

"Kita lihat, dia (Najib) sebagai seorang PENAKUT. Dia sentiasa mengatakan "Ya Tuan, Ya Tuan, Saya SOKONG, saya SOKONG". Itulah salah satu kritikan Mahathir kepada Najib.

Melihat kepada kritikan tersebut, menampakkan satu terjahan keras Mahathir kepada Najib. Tetapi betulkah begitu? Adakah benar Mahathir sudah berpatah arang dengan Najib? Atau mungkin mahu menyedarkan Najib bahawa masa untuk beliau sudah tiba?

Sekarang, melihat acuh tidak acuh reaksi Najib, Mahathir seolah-olah ingin mengangkat Ku Li untuk menggantikan Pak Lah... betulkah begitu? Kalau orang bertanya saya, saya akan jawab tidak dan tidak masuk akal.

Mahathir - Ku Li, kedua-duanya mempunyai sejarah pertembungan dan pemusuhan politik yang hebat dalam banyak perkara sejak tahun 1980-an lagi. Sejarah pertembungan Mahathir - Ku Li ini, telah melakar sejarah yang amat tragis bagi orang Melayu kerana pertelagahan yang mendorong Umno diharamkan pada tahun 1988. Tragedi tersebut melahirkan Umno Baru & Semangat 46.

Tetapi kerana kepentingan tertentu, Ku Li kembali ke pangkuan Umno dan meninggalkan Angkatan Perpaduan Ummah. Ia meninggalkan sahabat yang tidak pernah mengkhianatinya dan kembali kepada sahabat yang pernah mengkhianatinya. Manakala Mahathir pula sememangnya terkenal dengan sikap tidak memaafkan sesiapa dan menganggap dirinya selalu betul walaupun acap kali memberi hujah yang merapu.

Yang penting, kedua-dua tokoh ini seakan-akan bersatu setalah dipinggirkan dari Umno samada dalam memberi pandangan dari sudut politik mahupun ekonomi. Namun apa jua yang diperkatakan, kedua-dua ’warga emas’ ini dipertemukan dalam satu majlis Ceramah Agung Tahunan Persekutuan Badan Pendidikan dan Pembangunan Melayu (PBPPM) di Universiti Malaya yang diadakan pada 30 Mac 2008 lepas.

Bermula tarikh tersebut, bermulalah era ’persepakatan’ diantara kedua-dua ini untuk menjatuhkan Pak Lah. Tetapi yang menjadi persoalan adakah kedua-dua warga emas ini bergabung untuk menjatuhkan Pak Lah bagi menjadikan Ku Li sebagai PM atau mereka bergabung tenaga untuk memberi laluan kepada Najib.

Ku Li Atau Najib?



Yang menjadi tumpuan sekarang, jika Pak Lah dijatuhkan, siapa yang akan menjadi PM? Ku Li atau Najib? (Abaikan dulu ramalan mengatakan Anwar bakal bergelar PM selepas Pak Lah).

Bermula dengan Mesyuarat Agung Khas Umno Bahagian Gua Musang, disusuli Amanat Khas di Balai Islam minggu lepas (diwar-warkan sebagai Majlis Maulidurrasul), ’aura’ untuk Ku Li mendapat sokongan terasa amat sukar. Saya yang turut berkesempatan program ’Amanat Penting’ di Balai Islam tersebut, tidak merasakan sesuatu perubahan yang besar akan berlaku. Malah hadirin yang hadir tidak menampakkan sokongan yang total dari ahli Umno. Yang ramai ialah dari kalangan bekas-bekas ahli Semangat 46. malah ramai juga ahli-ahli PAS turut serta bagi mengikuti program tersebut. Buat setakat ini, jika tiada ‘gelombang’ besar yang dilakukan oleh Ku Li untuk menjejaki takhta PM, ‘sumpahan’ Tok Wali Hassan kepadanya pasti berpanjangan.


(Majlis Maulidurrasul Yang Dianjurkan Oleh Ku Li)


Ramai merasakan, Umno dilihat sukar untuk memberi laluan mudah kepada Ku Li berbanding dengan memberi laluan kepada Najib bagi menggantikan Pak Lah. Sebenarnya ini yang dimahukan kebanyakkan ahli Umno dan mustahil Mahathir tidak memahami situasi ini.

Ramai juga melihat sokongan Mahathir kepada Ku Li hanya bertujuan untuk menjatuhkan Pak Lah bukan untuk menjadikannya sebagai PM. Malah seorang pemerhati politik menggelarkan Ku Li seperti ‘dilacurkan’ oleh Mahathir untuk Najib.

Peralihan Kuasa

Cara ‘lakonan’ serangan Mahathir kepada Najib seperti ingin ‘menyucikan’ diri Najib. Malah reaksi ‘lembut’ Najib menjawab segala ’kritikan nipis’ Mahathir kepadanya, seakan-akan mempertejemahkan hubungan Mahathir-Najib masih utuh. Bahkan sememangnya, saya menyakini Mahathir inginkan Najib.

Tambahan pula, sekarang istilah ’peralihan kuasa’ semakin rancak kedengaran dan diwar-warkan oleh Muhyiddin Yassin (dikatakan mengimpikan jawatan Timbalan Presiden Umno). Istilah tersebut dilihat berjaya memberi tekanan yang hebat kepada Pak Lah berbanding tekanan yang diberikan oleh Mahathir - Ku Li. Pastinya Najib tersenyum dengan situasi sebegini.


Atau mungkin juga, rakusnya Mahathir melontar serangan kepada Pak Lah kerana ia sedar, jika tidak melakukan sesuatu, lama kelamaan pastinya musuh no. 1 beliau Anwar akan menjejaki Putrajaya. Maka untuk menyelamatkan keadaan sebegini, Pak Lah harus dan mesti dikorbankan dengan cepat. Cepatnya Najib menaiki takhta, akan jauhlah impian Anwar untuk menjejaki Putrajaya.

Saya pernah menanyakan soalan kepada seorang penulis terkenal mengenai samada Anwar akan berjaya masuk ke putrajaya? Ia menjawab dengan mudah, jika Najib naik, impian Anwar akan jadi kabur. Malah, saya juga yakin Mahathir & Anwar mengerti situasi ini. Kerana itulah, akhir-akhir ini ’sukhoi’ Anwar kini dihalakan kepada Najib bukannya kepada Pak Lah.

Yang pasti doa-doa golongan marhaen seperti telah dikabulkan. ’Neraka’ untuk Umno akan terus berpanjangan.


Yang menjadi persoalan, sejauhmana persediaan Pakatan Rakyat untuk menggantikan BN...?